Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kicauan 21 ekor burung murai batu di Kompleks Mahkamah Sepang


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





SALAK TINGGI, 9 0kt -- Suasana tegang di Kompleks Mahkamah Sepang di sini hari ini dihiburkan seketika oleh kicauan 21 ekor burung murai batu yang menjadi perhatian petugas serta pengunjung  apabila unggas itu dibawa ke Mahkamah Sesyen sebagai barang kes yang  membabitkan seorang lelaki warga Indonesia.

Dalam kes tersebut lelaki warga Indonesia berkenaan, Patrum,51,  dihukum penjara tiga bulan dan denda RM30,000 atau penjara enam bulan kerana cuba menyeludup keluar 23 ekor burung murai batu yang merupakan spesies yang dilindungi melalui pesawat AirAsia.

Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman tersebut selepas Patrum mengaku bersalah menyimpan 23 ekor burung berkenaan tanpa lesen di pintu Q7 balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pada kira-kira 3 petang Sabtu lepas.

Tengku Shahrizam memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh dia  tangkap. 

Kesemua burung berkenaan dimana dua ekor daripadanya sudah mati dibawa ke mahkamah hari ini untuk dikemukakan sebagai barang kes.

Turut dikemukakan sebagai barang kes ialah sangkar khas yang dibuat  dengan mencantumkan dua buah bakul.

Murai batu atau nama saintifiknya copsychus malabaricus  merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Patrum yang masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 60(2) akta berkenaan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dengan penjara selama tempoh  tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abd Aziz Mohd Yasin sementara Patrum diwakili peguam Zaflee Pakwanteh dan Low Henn Kai. 

Dalam rayuannya, Patrum mengatakan beliau tidak tahu bahawa membawa keluar murai batu dari Malaysia merupakan satu kesalahan. 

Difahamkan, murai batu Malaysia merupakan spesis yang mendapat permintaan tinggi di negara jiran kerana bulunya yang berwarna-warni serta suaranya dan boleh dijual daripada RM1,000 hingga puluhan ribu bergantung kepada kemerduan suara dan kecantikan bulunya. 

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel