Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Basikal penghubung pendapatan Jalin Awang jual roti


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





Oleh Johary Indan

TUARAN, 9 Okt  -- Dikejar dan digigit anjing, bukan situasi asing buat seorang penjual roti, Jalin Awang, yang mengayuh basikal sejauh 30 kilometer setiap hari untuk menghantar roti kepada pelanggan.

Jalin, 47, berkata basikal menjadi kenderaan utamanya sejak dia dan isteri mengusahakan perniagaan kecil membuat roti sejak 2013, sekali gus membolehkannya menyara isteri serta lima orang anak yang masih bersekolah.

Dia menghantar bekalan roti dibuat isteri, Siti Aidah Susina Mulin, 42, untuk dijual di lebih 10 premis perniagaan di Tuaran dan Tamparuli menggunakan basikal sejak mengusahakan perusahaan kecil itu.

"Isteri saya mahir membuat roti kerana ada mengikuti latihan dan berupaya mengeluarkan lebih 100 biji roti seminggu berperisa tausa (kacang hitam), kacang, krim, koko dan kelapa. Setiap roti mampu bertahan selama lima hari," katanya kepada Bernama, di sini.

Jalin, yang mengendalikan perusahaan kecil itu di rumah sewanya di Kampung Kauluan, mendapat suntikan modal daripada Yayasan Usaha Maju untuk membeli peralatan seperti ketuhar, penguli tepung, alat pembungkusan, periuk dan dapur.

Menceritakan lanjut, Jalin berkata basikal yang digunakannya kini adalah sumbangan seorang dermawan selepas basikal yang dimilikinya sebelum ini hilang dicuri ketika dia menghantar bekalan roti di Tuaran setahun lepas.

Jalin mengakui tidak mampu membeli motosikal untuk memudahkannya menghantar bekalan roti kepada pelanggan, memandangkan pendapatan yang diperoleh kira-kira RM1,500 sebulan adalah tidak menentu dan hanya ‘cukup makan’.

Katanya selain digigit anjing, berdepan cuaca panas, hujan lebat dan angin kencang antara cabaran yang kerap dihadapinya sewaktu dalam perjalanan seawal 8 pagi setiap hari untuk  menghantar bekalan roti kepada pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, semua itu tidak mematahkan semangat, sebaliknya dijadikan pembakar semangat untuk terus berusaha lebih gigih demi kelangsungan hidup.

"Semua itu terpaksa saya hadapi demi rezeki, namun saya bersyukur semua kejadian itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada saya yang masih dapat meneruskan usaha kecil itu sehingga kini," katanya.

Sehubungan itu, Jalin berharap ada pihak akan tampil membantu memberikan kemudahan motosikal dan membina tempat membuat roti kepadanya untuk meringankan beban.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel