Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota bomba perlu terus diberi pendedahan risiko kes kemalangan elektrik


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





KOTA KINABALU, 9 Okt -- Anggota bomba perlu terus diberikan pendedahan mengenai risiko terkena renjatan elektrik atau percikan arka semasa menjalankan operasi kebombaan, kata Pengarah Kawal Selia Keselamatan Suruhanjaya Tenaga (ST) Md Zakuan Ibrahim.

Beliau berkata pendedahan itu bagi membolehkan anggota bomba bersedia dengan tindakan sesuai ketika menghadapi situasi melibatkan elektrik.

Sehubungan itu katanya, ST dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menganjurkan satu taklimat khas bagi memberi pendedahan dan persediaan kepada anggota bomba.

“Kita berharap dengan pendedahan secara konsisten berkenaan bahaya elektrik kepada pegawai dan anggota bomba dapat mengelakkan kes kemalangan elektrik semasa kerja-kerja operasi dan menyelamat dijalankan,” katanya ketika berucap merasmikan Taklimat Keselamatan Elektrik kepada anggota bomba Sabah, di sini, hari ini.

Md Zakuan berkata sejak 2015, ST telah menerima tujuh laporan kemalangan elektrik yang berlaku semasa kebakaran atau operasi menyelamat yang melibatkan anggota bomba dan orang awam.

“Pada tahun ini iaitu sehingga September sahaja sebanyak dua kes kemalangan elektrik dilaporkan dan kedua-duanya berlaku di Sabah. Oleh itu, untuk mengelakkan jumlah ini terus meningkat kita perlu memberikan pendedahan kepada anggota bomba,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak ditubuhkan 17 tahun lepas, ST telah merekodkan sebanyak 1,013 kes kemalangan elektrik dengan 503 daripadanya telah meragut nyawa.

“Setiap tahun secara puratanya kami menerima 57 kes kemalangan elektrik dan siasatan mendapati majoriti kemalangan berlaku akibat pemasangan dan penyelenggaraan yang tidak sempurna,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel