Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UTHM jalin kerjasama dengan Hewlett Packard


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





BATU PAHAT, 8 Okt -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti pertama dalam negara yang menjalin kerjasama dengan syarikat pembuat komputer terkemuka Hewlett Packard (HP), melalui anak syarikatnya Aruba, bagi melahirkan pakar komputer.

Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata kerjasama itu turut menjadikan UTHM dipilih oleh pihak Aruba untuk membangunkan sebuah akademi yang mampu melahirkan 70 pakar komputer bagi satu-satu masa.

Katanya, akademi yang dikenali sebagai Aruba Academy itu akan diletakkan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UTHM, di mana ia juga menjadi akademi pertama Aruba di wilayah Asia Tenggara dan Taiwan (SEAT).

“Selain sebagai tempat melahirkan pakar komputer khususnya dalam aspek rangkaian (networking), pihak UTHM dan Aruba juga akan menggunapakai akademi ini untuk perkongsian bagi kajian serta pembangunan dalam bidang teknologi maklumat di rantau ini.

“Kami harapkan dengan terjalinnya kerjasama ini, ia akan dapat membantu melahirkan lebih ramai lagi pakar dalam bidang yang penting di abad ke-21 ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sedemikian selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara pihak UTHM dengan Aruba, di FSKTM UTHM, di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Kanan dan Pengurus Besar SEAT Aruba, Justin Chiah.

Dalam pada itu, Chiah berkata pihaknya memilih UTHM kerana komitmen tinggi universiti berkenaan dalam melahirkan pakar-pakar komputer, selain UTHM juga sebuah universiti yang mementingkan bidang teknologi sehingga terkenal dalam pembangunan pendidikan berteraskan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0)

Katanya, melalui MoA yang termetrai ini pihaknya akan berkongsi pengalaman dengan UTHM melalui aspek teori dan juga praktikal pembelajaran dalam bidang teknologi maklumat.

“Jika sebelum ini pelajar di UTHM hanya belajar secara teori sahaja tetapi dengan wujudnya Aruba Academy, mereka akan dapat mempelajari bidang ini secara praktikalnya pula dan tidak perlu ke lapangan atau ke pemain industri.

“Melalui perjanjian ini kita juga akan menepatkan beberapa peralatan sebenar untuk sesi pembelajaran yang akan menumpukan dalam bidang rangkaian, keselamatan, pusat data dan beberapa lagi aspek yang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel