Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri lancar aplikasi Terengganu Pay tahun depan


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





KUALA TERENGGANU, 8 Okt -- Bermula tahun depan, rakyat Terengganu berpeluang membayar bil agensi-agensi kerajaan negeri dengan menggunakan aplikasi 'Terengganu Pay'.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika ini, aplikasi itu masih dalam proses penyediaan terutama berkaitan aspek teknikal.

"Memanglah sekarang ini, rakyat boleh membuat pembayaran melalui perbankan internet yang disediakan oleh institusi bank, namun melalui Terengganu Pay ini, kita akan selaraskan agar ia menjadi satu platform yang lengkap dan menyeluruh.

"Semua agensi di bawah kerajaan negeri akan diletak di bawah Terengganu Pay untuk memudahkan orang ramai membuat urusan pembayaran bil melalui satu transaksi sahaja.

"Ia bukan sekadar satu laman web, malah boleh dimuat turun melalui sistem telefon pintar seperti Android untuk melancarkan lagi urusan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Karnival Inovasi ICT Negeri Terengganu 2019 di sini hari ini.

Lebih 10,000 pengunjung hadir ke karnival itu yang bermula pada Ahad lalu, yang disasar memberi pendedahan serta kesedaran tentang perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memberi peluang pengunjung mengikuti pelbagai bengkel secara percuma.

Antaranya ialah bengkel ICT oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa syarikat swasta yang lain.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Samsuri berkata Terengganu Pay adalah selaras dengan konsep pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 untuk maksimumkan perkhidmatan sistem penyampaian yang responsif dan pantas melalui kerajaan digital bagi memenuhi kehendak rakyat.

"Sehubungan itu, ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan dalam menggalakkan penjawat awam menyumbang idea bagi penciptaan inovasi-inovasi ICT baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan.

"Penghasilan inovasi ICT yang cekap dan berkesan memerlukan sumber data yang baik dan tepat. Kekurangan maklumat yang tepat akan memberi kesan yang besar dalam usaha kerajaan mengatur pengurusan pentadbiran harian," katanya.

Setakat ini, pelbagai program bantuan kepada rakyat telah berjaya dilaksanakan menggunakan platform digital seperti permohonan lesen motosikal percuma, bantuan subsidi air dan bantuan dana perayaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel