Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PGA7 tahan 23 pati warga Myanmar di Rantau Panjang


Tarikh kemaskini: 08/10/2019




PASIR MAS, 8 Okt --  Harapan seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI)  untuk menyusup  masuk ke negara ini musnah apabila kenderaan yang membawa mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berdekatan pangkalan haram Kertas, Rantau Panjang tengah hari semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Supt Azhari Nusi, berkata dalam kejadian itu kenderaan jenis Naza Ria yang memuatkan kumpulan pendatang itu terbabas selepas cuba melarikan diri apabila terserempak dengan anggota PGA yang sedang melakukan rondaan.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 1.45 tengah hari itu anggota membuat rondaan di sekitar kawasan sempadan ternampak sebuah kenderaan keluar daripada lorong di pangkalan haram dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba dihampiri.

"Anggota kami cuba memberhentikan kenderaan terbabit dengan mengarahkan pemandunya agar berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, disebabkan cuba melepaskan diri dengan tergesa-gesa kenderaan itu terbabas sebelum pemandunya melarikan diri ke arah Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azhari, pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan itu mendapati terdapat 23 pendatang warga Myanmar termasuk dua wanita.

Katanya pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke negara ini.

"Siasatan mendapati penyeludup sanggup memuatkan sehingga 23 penumpang secara berhimpit-himpit ke dalam kenderaan itu walaupun boleh mendatangkan bahaya dan risiko yang tinggi.

Siasatan juga mendapati kesemua mereka dipercayai dibawa melalui negara jiran, Thailand sebelum masuk ke Malaysia dan dijangka akan dihantar ke Ipoh, Perak," katanya.

Katanya kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel