Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dasar Kraf Tangan Negara perkasa industri dan sosio ekonomi rakyat


Tarikh kemaskini: 07/10/2019





KUALA TERENGGANU, 7 Okt -- Dasar Kraf Tangan Negara yang bakal diwujudkan akan menggariskan hala tuju baharu demi melonjakkan industri kraf ke arah lebih dinamik dan berdaya saing bagi memastikan industri kraf terus kekal relevan sehingga 30 tahun lagi. 

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata pihaknya meletakkan 'Kraf Memperkasa Sosio Ekonomi Rakyat' sebagai agenda pembangunan sosial selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu kemakmuran bersama.

"Dasar ini nanti diharap dapat menggalakkan kemajuan dan pertumbuhan industri kraf, menjaga dan melindungi kepentingan lebih 25,000 usahawan dan jaringan komuniti perniagaan mereka, mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud dalam industri kraf serta mengekalkan seni warisan kraf tempatan.

"Untuk itu, kami juga turun padang dalam sesi libat urus bersama usahawan yang terlibat di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan dan cadangan mereka untuk kami jadikan input dalam pembentukan dasar ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama 160 usahawan kraf Terengganu di sini, hari ini.

Sesi libat urus pertama bermula di Sabah pada 13 April lepas diikuti Sarawak (20 Jun), Kedah dan Perlis (10 Julai), Melaka dan Negeri Sembilan (15 Julai), Johor (16 Julai), Selangor (17 Sept), Pahang (18 Sept) Pulau Pinang (30 Sept), Perak (1 Okt), Terengganu (7 Okt) dan Kelantan (8 Okt).

Ditanya apakah antara permasalahan yang dibangkitkan usahawan dalam sesi libat urus setakat ini, Ibrahim berkata antaranya ialah larangan import produk kraf dari luar negara yang boleh mengancam kelangsungan usahawan tempatan seperti songket, ukiran kayu serta logam (keris dan parang).

Beliau berkata dasar baharu itu nanti akan turut mengambil kira kemajuan revolusi industri 4.0 agar usahawan dan komuniti kraf dapat bergerak seiring era pendigitalan dalam pembuatan produk, pengiklanan dan pembangunan perniagaan mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel