twi1P0q6oq8 Peneroka Felcra Bukit Tandak lakukan solat hajat
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peneroka Felcra Bukit Tandak lakukan solat hajat


Tarikh kemaskini: 07/10/2019





PASIR MAS, 7 Okt -- Lebih 100 peserta Felcra Bukit Tandak dekat Rantau Panjang, di sini, melakukan solat hajat bagi memohon petunjuk Illahi agar kemelut yang melanda antara mereka dengan kerajaan negeri Kelantan dapat diselesaikan dengan cara baik.

Solat yang diketuai oleh Imam Masjid Felcra Bukit Tandak, Yusof Mamat itu turut disertai oleh golongan wanita dan kanak-kanak bermula pukul 9.30 pagi tadi.

Wakil peneroka, Mohd Rodzali Mat Noor berkata, solat hajat berkenaan adalah bagi memohon supaya 'terbuka hati' pimpinan kerajaan negeri dan memberikan keadilan kepada kumpulan peneroka di sini.

Beliau berkata rata-rata peneroka di situ adalah mereka yang sudah 40 tahun mengerjakan tanah getah dan tidak adil apabila kerajaan negeri melabelkan mereka sebagai penceroboh.

"Tanah ini diterokai oleh kami sejak tahun 60an dan kamilah yang menghidupkannya sehingga menjadi seperti sekarang ini.

"Kami berani bersumpah bahawasanya kami bukannya penceroboh dan bukan mengambil tanah orang. Kepada kerajaan negeri kasihanilah kami golongan peneroka dan carilah jalan penyelesaian yang adil," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Rodzali yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan Peserta (AJKKP) berkata, dahulunya ada 348 peneroka di sini tetapi jumlahnya sekarang sudah berubah.

Jelasnya peneroka pernah meminta diadakan perundingan dengan kerajaan negeri tetapi ditolak dan kemuncaknya apabila pokok getah di sini mulai ditebang sejak seminggu yang lalu.

Mengulas mengenai tawaran tanah seluas 1.2 hektar kepada peneroka, Mohd Rodzali berkata, perkara itu sebenarnya ada ditimbulkan namun masih tiada 'hitam putih'.

"Dahulu peneroka di sini sudah membayar hutang sebanyak lebih RM6 juta sejak 1989 dan selesai pada 2004.

"Apa yang mengejutkan sejak seminggu lalu ada pihak datang menebang pokok getah di kawasan seluas 0.8 hektar di sini. Apa yang kami tahu kerajaan negeri dikatakan sudah menerima bayaran lebih RM4 juta daripada satu syarikat untuk bayaran penebangan pokok getah di kawasan seluas 689 hektar di sini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel