Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga anak mangsa kemalangan jadi anak angkat Hotel Permai


Tarikh kemaskini: 06/10/2019





MARANG, 6 Okt -- Tiga anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Muadzam Shah, Pahang pada Khamis lepas kini menjadi anak angkat kepada Hotel Permai, Terengganu.

Aryan Rizqy, 6;  Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2 merupakan anak kepada Muhammad Noor Idham Ramli, 31 dan Surawati Mohd, 33.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata Allahyarham Muhammad Noor Idham adalah juruwang di restoran hotel tersebut dan telah bekerja selama dua tahun.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar untuk pengurusan hotel kerana allahyarham adalah seorang pekerja yang sangat berdedikasi dan disenangi semua pihak termasuk pengunjung Hotel Permai.

"Kami sangat mengalu-alukan agar anak-anak ini dapat berkunjung ke hotel pada musim cuti persekolahan dan menggunakan kemudahan yang ada seperti penginapan dan makan minum secara percuma," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu Surawati, Zainab Mamat, 60, di Kampung Gong Merawang dekat Rhu Muda di sini hari ini. 

Kedatangan Noralizan bersama 20 lagi kakitangan hotel turut membawa kek dan hadiah untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak sulung Allahyarham iaitu Aryan Rizqy yang genap enam tahun semalam.

Sementara itu, Zainab berkata ketiga-tiga cucunya itu akan tinggal di rumahnya dan dijaga bersama ibu saudara dan bapa saudara yang tinggal di rumah sama memandangkan hubungan mereka sangat erat.

"Dua malam mereka tiga beradik tak boleh tidur kerana sakit-sakit badan kesan dari kemalangan tersebut. Walaupun mereka nampak sedih dan sering menyebut 'mummy daddy', kehadiran ramai sepupu lain yang seusia mereka dapat membendung kesedihan itu.

"Kami bercadang mendaftarkan anak yang sulung ke Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing pada tahun depan agar sama dengan sepupu yang lain dan lebih mudah menguruskan persekolahan mereka," katanya yang pernah kehilangan anak sulung dan menantu, juga akibat kemalangan maut pada 31 Ogos 2002.

Dalam kemalangan pada Khamis lalu, Muhammad Noor Idham meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Surawati pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah, Pahang kira-kira tiga jam kemudian. Tiga anak mereka terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel