Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

WKB tanda kerajaan serius tangani masalah rakyat - PPIK


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





KOTA BHARU, 5 Okt  -- Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) berkata Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuktikan kerajaan serius dalam menangani masalah seluruh rakyat di negara ini.

Yang Dipertuanya Datuk Seri Dr Mohd Fared  Abdul Ghani berkata pastinya strategi baharu yang diperkenalkan itu akan mendapat sokongan penuh daripada rakyat khususnya bagi negeri yang agak ketinggalan seperti Kelantan.

"PPIK menyokong penuh WKB 2030 kerana pastinya akan banyak memberi impak untuk kemajuan negeri ini dan keseluruhan rakyatnya dengan kata lain Kelantan akan membangun seiring dengan negeri lain.

Pembahagian kekayaan negara secara adil kepada semua memastikan semua akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dan tiada lagi jurang perbezaan antara kaum atau negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya rakyat negeri ini perlu bersedia untuk menyahut dasar baharu itu agar hasrat kerajaan untuk menyamaratakan semua rakyat dan negeri tercapai.

Perdana Menteri hari ini secara rasmi melancarkan WKB 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang digariskan sebagai hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Tiga objektif utama WKB 2030 adalah pembangunan untuk semua bagi mewujudkan ekonomi yang distruktur semula, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

Menangani jurang kekayaan dan pendapatan supaya rakyat yang ketinggalan dapat dibawa bersama dalam arus kemajuan negara, nasib mereka terbela dan keupayaan ekonomi mereka diperkasa.

Ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel