Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

16 nelayan warga Vietnam terjun bot elak ditahan penguatkuasa


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





KUALA TERENGGANU, 5 Okt  -- Seramai 16 nelayan warga Vietnam nekad terjun ke laut dan berenang ke pelantar minyak Bargading  semalam, bagi mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Iman dan Ops Naga Barat yang dijalankan.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata dengan bantuan petugas pelantar minyak tersebut, pihaknya berjaya memberkas kesemua nelayan itu kira-kira pukul 9.57 pagi semalam.

“Ketika melakukan rondaan, pihak maritim mengesan sebuah bot nelayan asing sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 108 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Apabila menyedari dihampiri pihak penguatkuasa difahamkan nelayan tersebut melarikan diri bersama bot menghala ke pelantar minyak Bargading sebelum 16 awak-awak termasuk tekong terjun dan berenang sejauh 50 meter ke pelantar,”  katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Negeri Terengganu di sini hari ini..

Manakala bot mereka dibiarkan hanyut dan tindakan pantas pihak APMM berjaya menyelamatkan bot itu, katanya lagi.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati kesemua lelaki berusia 15 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu katanya APMM turut merampas  hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kesemua yang ditahan dan bot telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah dan Akta Imigresen 1959/63, katanya.

“Jika disabit kesalahan bot tersebut boleh dilucutkan hak oleh Kerajaan Malaysia, manakala tekong boleh didenda sehingga RM1 juta dan awak-awak boleh didenda sebanyak RM100,000 seorang,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel