Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA sasar kurang jurang import sayuran dan buah-buahan


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





KUANTAN, 5 Okt  --  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengurangkan jurang import sayur-sayuran dan buah-buahan dari luar negara dengan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pendekatan tersebut dilihat berkesan dalam usaha untuk menjimatkan pengaliran wang ke luar negara yang meningkat setiap tahun sehingga boleh mencecah bilion ringgit ekoran peningkatan nilai pengimportan hasil tanaman. 

"Pada masa ini kita import hasil pertanian dari luar negara dalam lingkungan RM50 billion dan ia meningkat setiap tahun yang sebelum ini dalam lingkungan RM47 billion.

Daripada jumlah itu, RM9 billion adalah dalam bentuk sayur-sayuran dan buah-buahan… kita berjaya mengeksport semula sebanyak RM3 billion dan ini menjadikan jurang antara eksport dan import negara ialah sebanyak RM6 billion.

Kalau kita boleh tingkatkan hasil tanaman di dalam negara, kita tak perlu import lagi dan ia pastinya dapat menjimatkan wang negara," katanya pada Majlis Perasmian Jelajah Promosi Produk Segar Pertanian Di Bawah Program Ladang Kontrak di sini, hari ini.

Jelajah selama empat hari yang berakhir esok itu membabitkan 25 peniaga membabitkan produk pertanian, produk hiliran dan makanan popular. 

Mohd Anis berkata FAMA juga menyeru petani terutama peserta yang terlibat dalam Program Ladang Kontrak untuk meningkatkan hasil pengeluaran sayuran dan buah-buahan bagi mengurangkan import dari luar negara.

"Ketika ini, import yang paling banyak ialah kobis dan kelapa sementara tanaman seperti bawang, kentang dan lobak terpaksa diimport kerana tidak sesuai ditanam di negara ini," katanya.

Mohd Anis juga memaklumkan nilai hasil Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) 2019  sehingga 31 Ogos lepas mencecah RM4 juta daripada 422 program yang dijalankan membabitkan 756 peserta.

Peserta JTDL boleh menawarkan harga berpatutan kepada pengguna iaitu antara lima ke 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran sementara pengguna berpeluang mendapatkan produk yang segar dan berkualiti, katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel