Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JBPM perkasa SOP tugasan di kawasan rusuhan, demonstrasi


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





KUALA TERENGGANU, 5 Okt -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan di kawasan rusuhan atau demonstrasi bagi mempertingkat aspek keselamatan semua pihak.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata penambahbaikan itu meliputi pelbagai aspek termasuk perlindungan diri, peralatan, kesiapsiagaan dan latihan.

Beliau berkata SOP yang ditambah baik itu telah diedarkan kepada setiap negeri dan sesi jelajah turut dijalankan bagi memberi penerangan berkaitan falsafah serta tafsiran arahan oleh barisan pegawai kanan operasi kepada anggota serta kakitangan.

"Selepas berlakunya kejadian yang menimpa arwah Muhammad Adib (Muhammad Adib Mohd Kassim), kita telah menubuhkan jawatankuasa khas dalam JBPM yang berkecuali untuk menyiasat dan melihat aspek-aspek penambahbaikan termasuk juga kolaborasi dengan agensi-agensi lain.

Mereka (jawatankuasa khas) telah bentangkan kertas tersebut kepada pihak dalaman JBPM dan beberapa faktor untuk kita tambah baik SOP yang melibatkan ketenteraman awam bagi keselamatan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini hari ini.

Di samping itu Mohammad Hamdan berkata JBPM telah membelanjakan sebanyak RM25 juta setahun untuk tujuan latihan termasuk latihan melibatkan keadaan luar jangka kepada pegawai dan anggotanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihaknya amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan  permohonan JBPM bagi Belanjawan 2020 yang telah dikemukakan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya permintaan itu termasuk kelengkapan logistik, aset, sumber manusia, pemodenan dan kolaborasi penyelidikan bagi memperkasakan tugas-tugas kebombaan.

"Kita juga mahu aspek kebajikan serta keselamatan pekerja diambil perhatian. Ia termasuk elaun perkhidmatan yang telah kita tuntut sejak 2015 untuk semua pegawai serta anggota terendah seperti mana yang dinikmati oleh kakitangan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan tentera," katanya.

Terdahulu, Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah JBPM 2019 menyaksikan Perak muncul juara selepas menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan akhir pagi tadi dan diikuti pasukan Terengganu di tempat ketiga.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel