Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Daki Bukit Marak gaya orang kampung


Tarikh kemaskini: 05/10/2019




KOTA BHARU, 5 Okt  -- Sekumpulan kira-kira 80 peserta mencipta kelainan mendaki Bukit Marak di sini hari ini dengan berpakaian tradisional masyarakat desa Kelantan.

Peserta lelaki mengenakan semutar daripada kain batik lepas dan berbaju 'Pagoda' berwarna putih manakala peserta perempuan pula menyilang kain sarung di badan atau memakainya ketika pendakian berlangsung.

Ketua pendaki, Mohd Khairul Hafiz Hassan, 27, berkata aktiviti berkenaan merupakan kali pertama dianjurkan Kelab Team Anak Muda Bangkit Kelantan (Sri Tamba) bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli kelab itu.

"Kami memilih untuk memakai pakaian tradisional ini bagi menghidupkan kembali nostalgia masyarakat Kelantan manakala lokasi Bukit Marak dipilih kerana sejarahnya yang terkenal dengan legenda Puteri Saadong.

"Selain aktiviti riadah untuk kesihatan, peserta juga dibekalkan dengan plastik sampah untuk mengutip sampah di sekitar Bukit Marak agar kebersihan di kawasan ini terpelihara," katanya kepada pemberita selepas program itu di sini.

Beliau berkata walaupun kelab itu baru ditubuhkan kira-kira sebulan setengah yang lepas namun aktiviti yang dijalankan pihaknya ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Selain mendaki bukit, kelab kami juga mempunyai kumpulan dikir barat dan pesilat. Walaupun majoriti ahli adalah kalangan orang muda namun mereka yang berusia 40 tahun ke atas juga boleh menyertai kelab ini kerana ia bertujuan untuk mengeratkan silaturahim semata-mata," katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Tengku Darajah Tengku Hassan, 61, dari Kedai Lalat berkata Bukit Marak terkenal dengan legenda Puteri Saadong dan Awang Selamat namun jarang diketahui oleh generasi masa kini.

Beliau  yang pernah tinggal di Bukit Marak sekitar 1980-an berkata mengikut cerita orang dulu-dulu, terdapat sebuah gua yang dikatakan menjadi tempat persemayaman Puteri Saadong yang merupakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang.

"Malah dikatakan sekitar 1960-an dan 1970-an, penduduk yang mahu mengadakan kenduri perkahwinan akan naik ke puncak bukit untuk meminjam pinggan mangkuk daripada Puteri Saadong.

"Perkara itu berlaku beberapa tahun namun selepas penduduk tidak memulangkan barangan yang dipinjam dengan baik malah ada yang hilang, Puteri Saadong dikatakan merajuk dan tidak lagi membenarkan penduduk meminjam pinggan mangkuknya," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel