Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sambut baik jika syarikat insurans carum PERKESO - Kula Segaran


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





IPOH, 5 Okt  -- Kementerian Sumber Manusia menyambut baik sekiranya terdapat mana-mana syarikat insurans ingin membuat caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kata Menterinya, M. Kula Segaran.

Bagaimanapun perkara itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia dicarum oleh sebilangan besar ejen-ejen dan konsultan bagi sesebuah syarikat insurans dalam memastikan Perkeso tidak berdepan dengan  sebarang kerugian.

"Ada dialog bersama konsultan insurans malam tadi yang ingin menyumbang kepada PERKESO, jadi saya beritahu kepada mereka jika semua ejen insurans dan konsultan sekali gus menyumbang kepada PERKESO kita sudi terima.

"Tetapi jika hanya sebilangan saja, kita rasa agak keberatan, ia disebabkan risikonya sangat tinggi. Jika terdapat 100 orang dan hanya 10 sahaja yang menyertainya, yang selebihnya hendaklah juga dilindungi agar kita boleh lindungi semua orang agar PERKESO tidak alami sebarang kerugian. Kita mahu perlindungan itu kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Utara Tahun 2019 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir Omar Mat Piah di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata demikian sebagai mengulas intipati sesi dialog bersama dengan 500 ejen Kumpulan Insurans Zurich dan Takaful yang dilaksanakan semalam di mana ada di antara perunding insurans meluahkan hasrat untuk menyumbang dengan PERKESO.

Menurutnya, beliau juga mengimpikan untuk melihat semua golongan pekerja di negara ini mencarum dengan PERKESO bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya jika dilanda musibah.

Katanya, ia perlu diperluaskan kepada bidang pekerjaan yang tidak dilindungi termasuk suri rumah dan penganggur.

Seminar selama sehari ini adalah anjuran JKKP dan Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dengan kerjasama JKKP Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis selain PERKESO.

Seminar ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan dan meluaskan capaian program promosi kesihatan tempat kerja bagi membentuk warga kerja sihat yang bebas penyakit pekerjaan dan penyakit tidak berjangkit yang menjadi beban utama negara masa kini.

--  BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel