RM10 juta penambahbaikan ciri jalan selamat di Kedah
Tarikh kemaskini: 05/10/2019

ALOR SETAR, 5 Okt -- Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan tambahan RM10 juta pada akhir tahun ini untuk kerja penambahbaikan ciri jalan selamat untuk memastikan jalan raya di negeri ini berada dalam keadaan selamat digunakan selaras 'Inisiatif Jalan Selamat' dilancarkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Zamri Yusuf berkata kerja penambahbaikan itu antaranya memasang papan tanda, memangkas pokok di bahu jalan, menyelenggara sistem perparitan dan bahu jalan, mengecat garisan jalan serta mengecat semula susur jalan dan penunjuk arah.
"Terdapat tiga faktor yang menjadi penyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya iaitu sebanyak 80 peratus adalah dari pengguna jalan raya, 13 peratus faktor jalan raya dan tujuh peratus oleh faktor kenderaan.
"Oleh itu, kerajaan negeri komited untuk mengurangkan kadar kemalangan melalui faktor jalan raya dari segi kejuruteraan jalan dalam memastikan kadar kemalangan dan kerugian akibat kemalangan dapat diminimakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri berkata 132 tawaran projek kecil akan dikeluarkan melalui kerja undi tambahan yang akan mula diagihkan kepada kontraktor bersaiz kecil di seluruh negeri bermula esok hingga 13 Okt ini.
Beliau berkata kerajaan negeri serta agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Institut Jurutera Malaysia (IEM) negeri juga akan memantau keadaan jalan raya agar sentiasa dalam keadaan selamat untuk digunakan.
"Kami akan pantau kerja-kerja penambahbaikan ini termasuk jalan raya yang diselenggara melalui syarikat-syarikat konsesi. Diharapkan pengguna akan mendapat lebih manfaat daripada inisiatif itu dan menggunakan jalan raya dan kenderaan sebagai kaedah untuk sampai ke destinasi yang dituju," katanya.
-- BERNAMA
|