Undang-undang berkaitan kerja tanah Pulau Pinang disemak semula - Jagdeep
Tarikh kemaskini: 04/10/2019

GEORGE TOWN, 4 Okt -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyemak semula beberapa peruntukan perundangan berkaitan operasi di kawasan tanah di negeri ini bagi memperketatkan lagi penguatkuasaan sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti undang-undang sedia ada sama ada perlu ditambah baik atau mewujudkan garis panduan baharu.
"Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk melihat apakah kekangan yang kita ada dari segi perundangan sama ada kita boleh cadangkan supaya pindaan dibuat ataupun garis panduan baharu diwujudkan untuk menjadikan tanggungjawab dan tugasan kita dalam mengambil tindakan penguatkuasaan itu lebih efektif.
"Supaya ia menjadi satu 'deterrent' ataupun mempunyai sifat pencegahan terhadap individu-individu yang ingin membuat operasi sedemikian pada masa hadapan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya, antara undang-undang dan garis panduan yang akan disemak semula ialah Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976), Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976), Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974) dan Akta 127 (Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974).
Selain itu, Undang-undang Kecil Kerja Tanah 1976 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Kaedah-kaedah Kuari Pulau Pinang 2018 di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Garis Panduan Keselamatan Untuk Pembangunan Kawasan Bukit 2012, katanya.
"Malah, Garis Panduan Keselamatan Untuk Pembangunan Kawasan Bukit 2012 telah saya umumkan sebelum ini bahawa ia sudah pun dalam peringkat kajian semula selaras dengan syor oleh Suruhanjaya Siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah dua tahun lepas," katanya.
Jagdeep berkata jawatankuasa yang dipengerusikan olehnya itu akan dianggotai oleh wakil dari Pejabat Penasihat Undang-undang negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Pejabat Tanah dan Galian.
Mengulas mengenai laporan akhbar berhubung operasi kuari haram di Teluk Bahang baru-baru ini, Pengarah Kejuruteraan MBPP A. Rajendran berkata satu mesyuarat telah diadakan pada 26 Sept lepas bagi memutuskan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"MBPP akan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersama di tapak dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan Pejabat Tanah dan Galian yang akan disusuli dengan tindakan pendakwaan tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Rajendran berkata tapak itu adalah satu tapak kuari lama yang beroperasi sejak tahun 1960-an dan telah berhenti operasi pada 2002.
Katanya kerja-kerja di tapak kuari itu dimulakan semula pada awal tahun ini, namun tiada bahan korekan atau batuan yang dikeluarkan dari tapak itu.
"Tapak kuari ini tiada pelan kerja tanah dikemukakan kepada MBPP untuk kelulusan. MBPP telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu notis mengkehendaki kerja tanah diberhentikan kepada pemunya tanah berkenaan pada 14 Feb 2019," katanya.
Menurutnya, notis berhenti kerja itu masih terpakai sehingga kini.
-- BERNAMA
|