Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ibu tunggal uzur tiada pendapatan rayu bantuan


Tarikh kemaskini: 04/10/2019




KOTA BHARU, 4 Okt -- Seorang ibu tunggal yang mempunyai masalah kesihatan serta tiada pendapatan, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi kelangsungan hidupnya bersama dua anak dan seorang cucu. 

Hasnah Senik, 59, berkata beliau sebelum ini yang bekerja di sebuah kilang papan di bandar ini terpaksa berhenti kerja apabila kesihatannya mula merosot sejak lebih 30 tahun lalu. 

Katanya, beliau tidak pasti penyakit yang dialaminya memandangkan pemeriksaan doktor di sebuah hospital di sini, tidak dapat mengesan punca sebenar yang menyebabkannya berasa pening sepanjang masa selain tidak boleh berdiri dalam tempoh yang lama. 

Lebih menyedihkan lagi, anak ketiga daripada empat beradik, Nor Hayati Mohd Nawi, 36, yang juga berstatus ibu tunggal turut mengalami nasib yang sama sejak setahun lalu. 

“Sebelum ini Nor Hayati mengambil upah membuat dan menjual kuih di sekitar kampung ini dengan pendapatan harian sebanyak RM20 ringgit untuk menyara anaknya, Nor Fatihah Amanda Roji, 6, selepas bercerai dengan bekas suaminya sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Binjai di sini, semalam. 

Hasnah berkata Nor Hayati bagaimanapun tidak mampu bekerja selepas kesihatannya merosot sejak setahun lepas.

Beliau berkata tugas untuk menyara keluarga digalas sepenuhnya oleh anak bongsunya, Mohd Rizal, 32, yang bekerja di sebuah kedai membuat cermin di Kubang Kerian dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari.

“Dengan upah itu jugalah digunakan untuk membantu perbelanjaan sekolah anak saudaranya yang yang merupakan pelajar prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan,” katanya. 

Hasnah berkata ada ketika Mohd Rizal terpaksa mengambil cuti apabila keadaan kesihatan beliau dan Nor Hayati membimbangkan dan hanya mampu terlantar sepanjang hari. 

“Anak saya juga bernasib baik kerana majikannya memahami keadaan ini apabila kerap mengambil cuti untuk menguruskan kami di rumah ketika sakit,” katanya. 

Hasnah berkata walaupun beliau menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan namun tidak mencukupi menyebabkannya sekeluarga terpaksa berjimat-cermat. 

“Ada ketika kami sekeluarga terpaksa makan nasi putih berlaukkan ikan kering dan berkuahkan kicap, selain terpaksa mengalas perut dengan hanya biskut kering dan juga air teh,” kata ibu tunggal empat anak itu. 

Beliau berkata walaupun mempunyai dua lagi anak yang lain namun mereka hanya melakukan kerja kampung dan sekadar mampu menyara keluarga masing-masing. 

“Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing sudah mempunyai komitmen dan bukannya dalam kalangan orang senang,” katanya. 

Hasnah berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini, dan orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0399541000420524 atas nama Hasnah Senik. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel