Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Perhutanan Kelantan pandang serius dakwaan pembalakan haram


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





KOTA BHARU, 3 Okt  -- Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) memandang serius dakwaan aktivis alam sekitar mengenai aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di Kelantan yang dikatakan pada tahap serius.

Pengarahnya, Mohd Radhi Choo Abdullah berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu  benar memandangkan ini melibatkan ketirisan hasil  kerajaan negeri.

"Dakwaan yang mengatakan semua proses pembalakan bermula daripada permohonan sehingga lulus lesen, pengeluaran balak sehingga sampai ke kilang melibatkan wang adalah amat berat.

“Begitu juga dengan dakwaan mengenai aktiviti mengubah ‘bearing’dan batu sempadan bagi pembesaran kawasan kerja, bayaran tanpa resit, bayaran cukai lori, mengubah ukuran saiz dan jenis kayu sebenarnya tidak wujud sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan JPNK sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa  mematuhi prinsip integriti ketika menjalankan tugas.

Pada 30 Okt lepas sebuah akhbar melaporkan kenyataan aktivitis alam sekitar yang  mendakwa aktiviti pembalakan dan perlombongan di Kelantan kini diibaratkan sebagai kanser tahap empat.

Mengulas lanjut, Mohd Radhi berkata siasatan awal JPNK mendapati kontraktor pembalakan hanya diminta menjelaskan bayaran untuk tujuan perlesenan berdasarkan peraturan (Kaedah-Kaedah Hutan) yang berkuatkuasa di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya mengeluarkan resit rasmi terhadap kesemua bayaran yang dikenakan dan pegawai serta kakitangan tidak dibenarkan sama sekali menerima bayaran secara tunai.

"JPNK juga telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk membendung kes-kes kesalahan hutan dan pembalakan haram bagi mengelak ketirisan seperti melakukan pemeriksaan secara berkala di kawasan pembalakan, pemeriksaan transit kayu balak dan pemeriksaan secara mengejut di Balik Pemeriksaan Hutan.

"Bagi memperkuatkan aktiviti penguatkuasaan jabatan juga melaksanakan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan dan sebagainya. Selain itu, pegawai yang terlibat digalakkan untuk menghadiri bengkel berkaitan penguatkuasaan bagi meningkatkan kefahaman," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Radhi berkata sehingga September tahun ini sebanyak 19 kes kesalahan hutan direkodkan manakala lima daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atau kakitangan yang didapati tidak berintegriti dan sentiasa komited untuk memastikan sumber hutan negara khususnya Hutan Simpan Kekal diurus dengan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel