Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bapa tunggal cekal urus tiga anak hidap Cerebral Palsy


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





TUMPAT, 3 Okt -- Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah diibaratkan nasib bagi seorang bapa tunggal, Mohd Zain Abdullah, 56, yang mengurus tiga anak istimewanya yang menghidap Celebral Palsy. 

Mohd Zain berkata tiada sekelumitpun kekesalan dalam kamus hidupnya dikurniakan tiga anak istimewanya iaitu Khairul Nisaa’, 25, Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, yang dikesan menghidap penyakit itu ketika masih bayi dan kini hanya mampu terlantar di pembaringan sepanjang hari.

Beliau berkata bukan mudah untuk menguruskan tiga anak istimewanya itu namun dirinya tetap cekal dan tabah menggalas tanggungjawab selepas kematian isterinya, Noraini Ismail, dua tahun lepas akibat kanser payudara.

“Pesanan terakhir arwah isteri agar menjaga anak-anak ini dengan baik terus tersemat di hati saya yang membuatkan saya terus cekal dan tabah menjaga ‘anak istimewa’ ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kok Keli di sini, hari ini. 

Terdahulu, Mohd Zain menerima kunjungan Malaysia Airports Sdn Bhd yang diketuai Pengurus Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Ahmad Fikri Samsudin yang menyampaikan sumbangan berupa makanan keperluan harian, lampin pakai buang dan wang tunai.

Mohd Zain berkata beliau hanya mampu bekerja sambilan sebagai tukang rumah di sekitar kampung itu memandangkan perlu membahagikan masa untuk menguruskan tiga anaknya itu. 

“Bukan empat anak yang lain tidak mampu menguruskan tiga anak istimewa ini namun hanya saya yang mampu memandikan mereka memandangkan untuk mengangkat mereka memerlukan tenaga yang kuat,” katanya bapa kepada tujuh anak itu. 

Malah katanya, dua anaknya iaitu Umi Shamira, 26, dan Mohd Amar Aizat, 21, juga banyak membantunya menguruskan tiga anak istimewa itu termasuk menyuap makanan dan minuman.

Mohd Zain berkata walaupun pendapatan yang diperolehi tidak menentu namun beliau bersyukur apabila mendapat pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM1,050 setiap bulan bagi kegunaan tiga anak istimewanya itu. 

“Saya bersyukur dengan bantuan yang diperolehi sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan tiga beradik ini termasuk kos lampin pakai buang dan juga makanan harian dan susu mereka,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Fikri berkata pihaknya terpanggil untuk memberi bantuan kepada keluarga Mohd Zain selepas ia tular di laman sosial. 

Beliau berkata sumbangan yang dihulurkan pada hari ini merupakan hasil sumbangan kakitangan Malaysia Airports Sdn Bhd dan juga orang persendirian yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

“Kami sebagai sebuah syarikat korporat berasa wajar untuk kami tampil membantu memandangkan ujian yang diberikan oleh keluarga ini sangat berat untuk menguruskan tiga anak istimewa ini.

“Diharap dengan sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bapa tunggal ini untuk menguruskan keperluan tiga anaknya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd Zain boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Mohd Zain di 0310829000087596.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel