vbqergtHgfM Gajah betina Abot dan Rambai bantu "jinakkan" gajah jantan liar
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gajah betina Abot dan Rambai bantu "jinakkan" gajah jantan liar


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





SETIU, 3 Okt -- Sentuhan dan pujukan dua gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai berjaya ‘menjinakkan’ seekor gajah jantan liar dalam tempoh 30 minit semasa operasi di Kampung Hulu Kekabu dekat Permaisuri di sini, hari ini. 

Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang itu memulakan tugas 'memikat' gajah liar itu pada pukul 9.30 pagi tadi dan berjaya memujuk haiwan liar itu  masuk ke dalam lori pada pukul 10 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung itu mengenai kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman di kebun mereka pada Sabtu lepas (28 Sept).

"Gajah jantan yang dianggarkan berusia 14 tahun ini berjaya ditangkap pada Isnin lepas (30 Sept) dan akan dipindahkan ke habitat yang sesuai di Taman Negara Terengganu hari ini. 

"Ini adalah gajah liar kelapan yang berjaya kami tangkap sepanjang tahun ini," katanya kepada pemberita di lokasi penangkapan gajah liar itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar Rendah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Zamrie Zoo  berkata operasi kali ini adalah operasi yang paling pantas pernah dilakukan Abot dan Rambai setakat ini.

"Abot yang berusia 26 tahun dan Rambai pula berusia 36 tahun memang dilatih sejak kecil untuk menjadi gajah denak dan telah berkhidmat untuk 'memikat' gajah liar di seluruh negara sejak lapan tahun lalu.

"Setakat ini, kita ada lagi gajah denak lain seperti Kasturi (40 tahun) dan satu-satunya gajah denak jantan iaitu Alam (20 tahun). Namun, yang biasa terlibat dengan operasi adalah Abot dan Rambai kerana mereka lebih 'mahir' dalam memujuk gajah liar," katanya yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Tambahnya, setiap operasi pemindahan gajah liar tidak sama kerana ada yang mengambil masa hingga empat jam, bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, keupayaan gajah denak dan pengendali serta anggota Perhilitan yang terlibat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel