Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

10,000 dijangka berkunjung ke KIICT Terengganu 2019


Tarikh kemaskini: 02/10/2019





KUALA TERENGGANU, 2 Okt -- Kira-kira 10,000 orang dijangka mengunjungi Karnival Inovasi Teknologi Maklumat (KIICT) Terengganu 2019 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Ahad sehingga Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata karnival itu merupakan platform terbaik dalam memberi pendedahan serta kesedaran tentang perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memberi peluang pengunjung mengikuti pelbagai bengkel secara percuma.

Antaraya ialah bengkel ICT oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa syarikat swasta yang lain.

"Pendaftaran dibuka sekarang dan kita berharap orang ramai akan menyertai bengkel ICT ini yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Karnival yang menelan kos hampir RM150,000 itu adalah anjuran kerajaan negeri melalui Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Negeri Terengganu serta Terengganu Digital Hub (TD1303).

Sebanyak 22 agensi pempamer daripada jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta sekolah-sekolah di seluruh Terengganu akan mempamerkan hasil produk inovasi ICT masing-masing yang memenangi pelbagai anugerah di peringkat jabatan, negeri dan antarabangsa.

Ariffin berkata pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat pengunjung antaranya pertandingan PUBG dan Mobile Legend, pertandingan Beyblade untuk kanak-kanak, demonstrasi robotik, percetakan 3D dan aktiviti yang akan memberi kesan audiovisual hebat kepada mereka.

"KlICT turut mewujudkan beberapa tanda pagar seperti #KIICTTerengganu2019 untuk tujuan promosi dan publisiti di media cetak, media elektronik, media sosial terutamanya Facebook, Instagram dan Twitter," katanya. 

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival itu boleh menghubungi talian 017-9373030 atau 013-6001734.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel