Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kesedar setuju serah bangunan kepada Kemas untuk buka institut latihan


Tarikh kemaskini: 02/10/2019




GUA MUSANG, 2 Okt -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bersetuju menyerahkan sebuah bangunan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan untuk membuka sebuah institut latihan sebelum akhir tahun ini. 

Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata bangunan bekas Kolej PolyTech Mara-Kesedar (KPTM-Kesedar) yang terletak di Jalan Persiaranraya bandar ini sesuai untuk tujuan itu kerana mempunyai kelengkapan mencukupi. 

Beliau berkata pihaknya sudah berbincang dan menerima permohonan daripada Kemas Kelantan berhubung perkara itu yang dianggap lebih menjimatkan jika sebelum ini kerap mengadakan latihan kakitangannya di luar Kelantan. 

Katanya, Kesedar tidak mengenakan syarat yang ketat kepada Kemas, asalkan bangunan itu tidak terbiar kosong selepas penutupan KPTM-Kesedar dan ada faedah latihan jangka panjang yang terbaik bagi agensi berkenaan. 

"Kita mahu ada kelebihan untuk Kemas Kelantan membuka Institut latihan sendiri," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Tabika/Taska Parlimen Gua Musang di Dewan Komuniti Kesedar di sini, hari ini. 

Seramai 375 kanak-kanak daripada 57 kelas Tabika dan Taska menerima sijil pada majlis konvokesyen yang pertama Kemas Kelantan untuk Parlimen Gua Musang. 

Turut hadir Penolong Pengarah Pengurusan dan Sumber Manusia Kemas Kelantan, Zarina Razlan dan Timbalan Pengurus Besar Kesedar (Pengurusan), Wan Rahimi Wan Salleh. 

Sazmi berkata institut latihan Kemas yang bakal dibuka itu adalah yang tercanggih dan pertama di Pantai Timur kerana terletak di kawasan trategik.

Katanya ia juga boleh menjimatkan kos jabatan kerana sebelum ini latihan kakitangan dihantar ke luar Kelantan termasuk di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain. 

"Kalau sebelum ini Kemas menanggung perbelanjaan besar bagi tujuan itu, tetapi selepas ini lebih jimat apabila ada institut latihan sendiri berdekatan," katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel