Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Deretan 17 arca projek UMT tarikan baharu di Dapo Pata


Tarikh kemaskini: 02/10/2019





KUALA NERUS, 2 Okt -- Deretan 17 arca pelbagai jenis hidupan laut kini menjadi tarikan terbaharu pelancong yang berkunjung ke sekitar Pantai Tok Jembal di sini.

Lebih menarik, projek arca yang terletak itu di tapak perniagaan Dapo Pata Uptown Kontena di pantai itu merupakan satu lagi bentuk pemindahan ilmu daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kepada komuniti setempat dan pelancong, agar lebih menghargai khazanah marin yang ada di negara ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (UMT) Dr Effi Helmy Ariffin berkata pengunjung yang datang ke situ boleh mengetahui maklumat mengenai hidupan laut menggunakan imbasan QR Kod telefon pintar yang dipadankan dengan arca itu.

"Seterusnya, pengunjung boleh melihat video serta lebih banyak gambar mengenai spesis marin itu di telefon pintar masing-masing. Ia adalah satu contoh pembelajaran santai secara interaktif kepada komuniti.

"Ini adalah projek perintis UMT di Dapo Pata. Kami akan mewujudkan lebih banyak arca seumpama ini di pantai yang lain sebagai sumber maklumat dan tarikan baharu kepada pelancong di Terengganu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Antara hidupan laut yang dipamerkan melalui arca itu adalah kerapu ekor gelap, ikan duri tompok, pelbagai jenis cacing marin, kakop merah dan balong.

Mengulas lanjut beliau berkata projek itu adalah cetusan ilham beberapa penyelidik UMT yang berjaya mengesan satu ekosistem baharu iaitu hidupan laut dasar yang dipercayai semakin berkembang setelah berlakunya hakisan teruk di sepanjang Pantai Tok Jembal dan sekitar UMT sejak beberapa tahun lalu. 

"Bagi mengatasi masalah hakisan itu, kerajaan telah membina benteng-benteng batu. Menariknya, terdapat tarikan ekosistem hidupan pulau seperti batu karang, gamat, landak laut dan lain-lain di sekitar kawasan itu.

"Ketika ini, penyelidik-penyelidik UMT dari pelbagai bidang sedang membuat penyelidikan bersama yang lebih terperinci terhadap ekosistem baharu tersebut melalui dana dalaman UMT," katanya.

Beliau berkata apabila pengunjung berkongsi gambar arca itu di laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter atau YouTube dan menggunakan tanda pagar berkaitan UMT, Dapo Pata Dan Terengganu, pelancong telah menyumbangkan data-data penyelidikan seperti perubahan garisan pantai, keadaan ombak dan air pasang surut. 

"Secara tidak langsung, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati keindahan dan kecantikan pantai-pantai Terengganu, malah turut menyumbang kepada penyelidikan sains marin di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel