Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian kaji keperluan lantikan luar bagi jawatan warden asrama


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA NERUS, 1 Okt  -- Kementerian Pendidikan sedang mengkaji keperluan untuk membuat lantikan luar bagi mengisi jawatan warden asrama yang ketika ini dipikul oleh guru sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata perkara itu memerlukan sesi perbincangan yang lebih mendalam atau sesi libat urus antara beberapa pihak termasuk guru dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ia dapat dilaksanakan. 

"Kita akan buat kajian kerana keputusan (pelaksanaan) ini akan memberi kesan terhadap banyak sekolah terutama yang ada asrama," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0: Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Sementara itu, Teo berkata kementerian itu masih menunggu nasihat daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu terhadap kes buli di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri ini.

Teo berkata keputusan sama ada akan merayu atau tidak terhadap keputusan yang mengarahkan pihaknya serta lapan defendan lain membayar ganti rugi berjumlah RM616,634.20 itu juga akan ditentukan kelak. 

"Kementerian masih menunggu nasihat daripada Pejabat Peguam Negara kerana apabila sesuatu kes melibatkan mahkamah, kami sebagai sebahagian daripada kerajaan akan mengikut nasihat daripada mereka.

"Berapa lama tempoh masa untuk buat rayuan, kalau tidak silap saya antara 60 hingga 90 hari dan dalam tempoh masa itu kita akan tunggu nasihat daripada Peguam Negara," katanya

Ahad lepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan defendan membayar tuntutan itu kepada seorang bekas pelajar sekolah SBP itu yang menjadi mangsa buli, empat tahun lepas.   

Sembilan defendan itu ialah lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang kini berusia 21 tahun; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sulaiman Ngarif, bekas pengetua SESMA Meriam Jusoh, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan kerajaan Malaysia.

Saman itu difailkan plaintif, yang ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya pada 2 April 2017.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel