k0AwzewKnMY JPJ kutip RM27 juta, nombor pendaftaran `ALL' bidaan tertinggi
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPJ kutip RM27 juta, nombor pendaftaran `ALL' bidaan tertinggi


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA TERENGGANU, 1 Okt -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil bidaan berjumlah RM27.22 juta menerusi 21 siri nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik atau e-Bidding, sejak diperkenalkan April lepas.

Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat JPJ, Mohd Hafiz Shamsani berkata hasil bidaan tertinggi diperoleh setakat ini ialah RM3.38 juta bagi siri nombor pendaftaran ALL di Perak.

"Bidaan secara elektronik melalui applikasi JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula dari transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. 

"Pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan mereka secara 'real time' tanpa sebarang unsur campur tangan manusia," katanya dalam sidang media pengumuman tempoh bidaan bagi nombor pendaftaran siri TCD di pejabat JPJ Terengganu hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata bidaan itu akan dibuka selama lima hari bermula 12 tengah malam pada 3 Okt (Khamis ini) sehingga 11.59 malam 7 Okt (Isnin depan).

"Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah berjumlah RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum sebanyak RM1,000, nombor menarik (RM3,000 dengan kenaikan bidaan minimum RM150), nombor popular (RM800 dengan kenaikan bidaan minimum RM40) dan nombor biasa (RM300 dengan kenaikan bidaan minimum RM15).

"Kaedah pembayaran dalam bidaan melalui aplikasi JPJeBid ini adalah dengan menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja. Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida. Keputusan akan diumum pada hari Jumaat (8 Okt)," katanya.

Bidaan itu terbuka kepada warga dan penduduk tetap Malaysia yang berumur lebih 18 tahun serta perniagaan atau syarikat berdaftar.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor sahaja manakala bagi perniagaan atau syarikat, hanya dihadkan kepada lima nombor.

"Setakat ini, pendaftaran nombor kenderaan bagi siri TTB merekodkan bidaan tertinggi di Terengganu dengan nilai RM2,088,616 di mana nombor pendaftaran tertinggi ialah TTB 1 iaitu RM264,000.

"Nombor pendaftaran kedua tertinggi direkodkan ialah TAY 1 sebanyak RM242,000 diikuti nombor pendaftaran kenderaan TBT 1 sebanyak RM240,000," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel