Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sakit tidak putus semangat jawab PT3 di hospital


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




KOTA BHARU, 1 Okt -- Semangat seorang calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menjawab peperiksaan tidak pernah luntur, malah bertambah yakin biarpun berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Meluahkan rasa sedih kerana tidak berada bersama rakan-rakannya yang lain, namun calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Megat Muhammad Fawwaz Megat Ezzat Fahmy, 15, reda dan menjalankan persediaan semasa berada di hospital, setelah dikesan menghidapi masalah buah pinggang bocor.

"Sebelum ini, saya mengalami demam yang berpanjangan selama sebulan dan agak risau apabila kedua-dua belah kaki menjadi sembab sejak 25 Sept lalu, namun bersyukur kerana ibu, Rosniza Jaafar segera membawanya ke hospital.

"Sehingga hari ini doktor masih lagi membuat rawatan untuk mengesahkan penyakit yang dihidapi, malah pada masa sama, saya diberikan ubat antibiotik kerana dikenal pasti ada jangkitan kuman pada bahagian buah pinggang," katanya ketika ditemui di Wad 10, HRPZII di sini hari ini.

Megat Muhammad Fawwaz berkata hari ini adalah hari pertama PT3 dan beliau yakin dapat menjawab kertas Bahasa Inggeris dengan sebaik-baiknya.

Menurutnya, apa yang menyakinkannya biarpun dimasukkan ke hospital, sebelum ini guru-guru setiap mata pelajaran sudah memberikan nota lengkap untuk dirinya menelaah pelajaran.

"Sepanjang enam hari berada di dalam wad, saya mempunyai banyak masa untuk mentelaah pelajaran dan pada masa guru-guru serta rakan-rakan yang datang melawat, turut memberikan kata-kata semangat," katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal di Lundang di sini berkata, pada peperiksaan percubaan yang lalu, beliau memperoleh keputusan 7B dan 2C.

Katanya pada peperiksaan itu, beliau berharap memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel