Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kurikulum Politeknik dikaji setiap lima tahun, penuhi kehendak industri


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




MELAKA, 1 Okt -- Kurikulum pengajaran dan pembelajaran di politeknik seluruh negara sentiasa dikaji setiap lima tahun dengan kerjasama Panel Penasihat Industri bagi menilai sejauh mana program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri.

Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, M.Azmi Ruzali berkata ia memastikan politeknik kekal relevan sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain menyediakan peluang pekerjaan bersesuaian dengan pelajar.

Katanya selain itu, inisiatif berkenaan penting bagi menyediakan pelajar ke arah perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang mana pelbagai teknologi terkini perlu dikuasai agar kemahiran dalam bidang yang diceburi dapat ditingkatkan.

"Secara dasarnya politeknik adalah sebuah institusi TVET sejak dahulu lagi namun apabila sejak kebelakangan ini kerajaan ingin memperkasa TVET, politeknik perlu ke hadapan memainkan peranannya dalam memenuhi keperluan atau kehendak industri.

Kita dalam proses memperkasakan lagi kurikulum sedia ada supaya ia sealiran dengan badan kejuruteraan atau badan pengiktirafan lain serta diploma yang  dikeluarkan politeknik diiktiraf bukan sahaja oleh Agensi Kelayakan Malaysia tetapi juga pihak industri," kata kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran dan Perasmian Penutup Program 'Innovation Competition, Conference and Career Exhibition' Siri Dua Politeknik Melaka di sini disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Pada majlis itu tujuh agensi dan industri menandatangani 'Sijil Kerjasama' dengan Politeknik Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Composite Technology Research Malaysia, Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Jobs Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli Melaka dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka.

M.Azmi berkata politeknik juga sentiasa memperkasa hubungan atau kolaborasi dengan pihak industri termasuk syarikat jenama besar di dalam dan luar negara bagi menyediakan peluang penempatan latihan industri kepada pelajar sekali gus peluang pekerjaan setelah mereka tamat menjalani latihan.

Beliau berkata politeknik juga sentiasa mendedahkan pelajar dengan perkembangan teknologi semasa dari aspek teknikal dan teori khususnya yang menggunakan automasi bagi melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia bekerja dalam industri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel