Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasangan suami isteri rayu sumbangan pembedahan anak di IJN


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




KUANTAN, 1 Okt -- Pasangan suami isteri di sini hari ini, merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan anak keenam mereka yang menghidap penyakit jantung, menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) yang dijadualkan pada bulan ini.

Rozita Radzali, 33, berkata anaknya Maya Alisha Mohd Hasrol, setahun tujuh bulan dijadualkan menjalani pembedahan untuk membuka saluran jantung yang sempit pada 21 Okt ini, yang dianggarkan berjumlah RM25,000.

Maya Alisha juga dijadualkan menjalani pembedahan kedua untuk menutup lubang di jantung dalam tempoh antara enam ke lapan bulan selepas tamat pembedahan pertama, dengan kos sekitar RM40,000 ke RM60,000.

"Kami buntu memikirkan bagaimana mahu mencari wang sebanyak itu kerana hanya berniaga menjual karipap dan air mangga di ‘Car Boot Sale’ Taman Kerang di sini. Kami sudah lima kali menangguhkan pemeriksaan di IJN kerana masalah kewangan. 

"Kami pergi juga ke IJN pada 27 Ogos lalu selepas dipujuk doktor di sini dan doktor IJN memberikan tarikh pembedahan kerana bimbang keadaannya bertambah teruk," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 8 di sini, hari ini. 

Rozita yang mempunyai tujuh orang anak berusia antara 14 hingga lima bulan sebelum itu, menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung, yang menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan dan wang tunai.

Dia berkata Maya Alisha disahkan mempunyai masalah jantung selepas dilahirkan pada usia kandungan tujuh bulan dengan berat hanya 1.5 kilogram (kg), menyebabkan pembesarannya tidak seperti kanak-kanak seusia.

"Walaupun sudah setahun lebih, saiz Maya Alisha kecil dan tidak boleh berjalan. Masanya banyak di buaian kerana cepat letih. Saya dinasihatkan tidak membiarkan dia menangis lama kerana dibimbangi akan memburukkan keadaan.

"Sayu melihat keadaannya tidak seperti anak yang lain. Saya berharap ada keajaiban dan Maya Alisha pulih kerana semasa lahir, doktor beritahu peluangnya 50-50, namun dia berjaya harungi keadaan itu," katanya. 

Sebagai usaha mencari dana pembedahan, Rozita mengemukakan permohonan kepada Majlia Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi mendapatkan wang zakat dan masih menunggu jawapan, selain meminta sumbangan di laman sosial.

Rozita berkata setakat ini, hanya dapat mengumpul sekitar RM1,000 menyebabkan dia terpaksa merayu ehsan masyarakat memandangkan tarikh pembedahan semakin hampir dan mereka yang berhasrat membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank miliknya bernombor 156094414390. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel