Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Kesihatan tingkat usaha cegah kemasukan penyakit demam kuning


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Kementerian Kesihatan akan terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan kemasukan penyakit Demam Kuning ke dalam negara, selaras dengan keperluan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (International Health Regulations -  IHR) 2005 dan Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan 1988.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara langkah diambil termasuklah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, bagi membuat saringan sijil vaksinasi Demam Kuning di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), untuk mengesan pengembara warga asing atau warga Malaysia, yang tiba dari atau pernah melawat negara yang tersenarai sebagai berisiko mengalami transmisi demam itu.

Langkah itu turut meliputi pengembara yang tidak mempunyai sijil vaksinasi antarabangsa Demam Kuning yang sah dan pengembara yang transit di negara berisiko melebihi 12 jam.

Menurut senarai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 29 negara di benua Afrika dan 13 negara di Amerika Selatan dan Tengah, adalah negara berisiko mengalami transmisi demam kuning.

"Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh menyebabkan pengembara dikuarantin di pusat kuarantin kesihatan, untuk tempoh tidak melebihi enam hari sebelum dibenarkan memasuki Malaysia. Ini bertujuan mengelakkan penyebaran risiko jangkitan demam kuning ke Malaysia.

"Pemantauan ke atas pengembara dari negara-negara berisiko Demam Kuning mendapati seramai 39,187 pengembara disaring pada 2018 dan 21,853 pada 2019 (Jan – Julai), manakala jumlah pelawat yang tidak membawa sijil Demam Kuning yang sah pada 2018 adalah 143 orang dan 29 orang dari Januari sehingga 30 Julai 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan memastikan keperluan vaksinasi dalam kalangan penuntut asing dari negara berisiko jangkitan dipatuhi.

Kementerian Kesihatan turut mempertingkatkan kewaspadaan dalam kalangan anggota kesihatan untuk pengesanan awal kes-kes Demam Kuning dan keperluan membuat notifikasi bagi tujuan mengawal dan mencegah perebakan penyakit.

Dr Noor Hisham turut menasihati rakyat Malaysia yang ingin melawat negara-negara berisiko mengalami transmisi Demam Kuning agar mendapatkan suntikan vaksin Demam Kuning selewat-lewatnya 10 hari sebelum tarikh berlepas dan membawa bersama sijil imunisasi yang sah semasa mengadakan perjalanan keluar negara.

"Vaksin Demam Kuning boleh diperoleh di Pusat Vaksinasi Demam Kuning yang diiktiraf oleh KKM. KKM akan sentiasa memberi maklumat mengenai Demam Kuning ini dari semasa ke semasa," jelasnya.

Demam Kuning adalah penyakit berjangkit bawaan nyamuk iaitu nyamuk aedes dan kebiasaannya 85 peratus kes akan menunjukkan gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala.

Bagaimanapun, katanya bagi yang bergejala, pesakit akan mengalami demam, badan menggigil, sakit badan, sakit kepala, loya dan muntah semasa fasa pertama. 

"Sebanyak 15 peratus daripada kes fasa pertama akan masuk ke fasa kedua di mana pesakit akan mengalami gejala demam dengan jaundis, sakit bahagian abdomen, muntah dan perdarahan dan sebanyak 50 peratus daripada kes-kes di fasa kedua ini akan meninggal dunia.

"Pengesahan kes boleh dibuat dengan ujian darah di makmal. Tiada rawatan khusus untuk penyakit Demam Kuning pada masa ini, tetapi pengambilan vaksin Demam Kuning boleh mencegah daripada mendapat jangkitan penyakit tersebut," katanya. 

Dr Noor Hisham mengesahkan sehingga kini tiada kes Demam Kuning dilaporkan di Malaysia, namun negara ini mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit itu disebabkan nyamuk aedes. 

"Virus Demam Kuning boleh dibawa masuk ke Malaysia melalui pelawat yang tiba dari negara-negara berisiko yang tidak mengambil vaksin Demam Kuning dan telah dijangkiti penyakit ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel