Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cheng Hoe panggil Mohd Azizan untuk sesi latihan pusat Harimau Malaya


Tarikh kemaskini: 30/09/2019





KUALA LUMPUR, 30 Sept  -- Pemain Sabah, Mohd Azizan Nordin akan menyertai latihan skuad Harimau Malaya selewat-lewatnya esok setelah pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih masih bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya pada saingan suku akhir pertama Malaysia berdepan Melaka, baru- baru ini.

Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memaklumkan Mohd Azizan dipilih untuk menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan memandangkan pemain berusia 25 tahun itu pernah diberi peluang beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bersama skuad kebangsaan pada tahun lepas.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan Nor Azam akan dikekalkan dalam skuad kebangsaan untuk beberapa aksi penting selepas ini sekiranya kembali pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya.

"Kita masih harapkan Nor Azam untuk terus berada dalam pasukan kebangsaan kerana beliau beraksi dengan baik (dalam beberapa perlawanan) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini, dan kita masih menunggu keputusan daripada doktor pasukan berhubung tahap kecederaan beliau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Selain Nor Azam, Cheng Hoe mendedahkan empat pemain lain turut mengalami kecederaan ringan iaitu pemain Selangor Abdul Halim Saari, selain tiga pemain Perak iaitu, J. Partiban, Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad.

Dalam pada itu, Cheng Hoe melihat aksi pemanas badan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 Oktober ini merupakan medan terbaik untuk menguji beberapa pemain yang baharu dipanggil seperti pertahanan pasukan Johor Darul Ta'zim, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.

Sementara itu, Shahrul Mohd Saad menyifatkan kepulangan semula Aidil Zafuan ke dalam skuad kebangsaan menjadi tonik terbaik kepada barisan pertahanan negara sebelum berdepan Vietnam pada aksi keempat Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 15 Oktober ini.

Kapten Perak itu pada masa sama turut berharap skuad kebangsaan dapat meraih kemenangan berdepan Vietnam bagi menghidupkan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak beraksi ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

"Dengan kehadiran Aidil, ia akan dapat membantu memperkuatkan barisan pertahanan negara pada kali ini memandangkan pengalaman luas beliau serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan bersama skuad kebangsaan sebelum ini," jelas pemain berusia 26 tahun itu.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga di belakang Thailand dan Emiriah Arab Bersatu dalam Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menerusi kutipan tiga mata setelah beraksi dua perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel