Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jho Low kawal 1MDB dari belakang bagi laksana mandat Najib - Saksi


Tarikh kemaskini: 30/09/2019





KUALA LUMPUR, 30 Sept  -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengawal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari belakang untuk melaksanakan arahan yang juga mandat daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata merujuk kepada emel bertarikh 6 Feb, 2013 yang diterima daripada Jho Low ia mengandungi deraf surat Annex yang mengandungi butir hasil rundingan antara 1MDB dan Investment PJS Ltd (Aabar) serta nota penjelasan kepada Najib. 

Beliau berkata, emel itu juga menyatakan bahawa bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Datuk Azlin Alias, sudah berbincang dengan wakil pejabat Putera Mahkota Abu Dhabi untuk menguruskan butir pengumpulan dana dan memintanya mengambil tindakan untuk berbincang dengan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendarahaan, KSP).

“Saya menyerahkan tanggungjawab pengurusan ini kepada Mohd Hazem Abdul Rahman kerana usahasama Tun Razak Exchange adalah di bawah tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pegawai Operasi 1MDB, dan kerana beliau bakal mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB. 

“Ini adalah satu daripada contoh emel sulit Jho Low yang mengawal 1MDB dari belakang untuk melaksanakan arahan yang saya percaya mandat Datuk Seri Najib,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib melibatkan dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata, emel itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low mengatur segalanya. 

“Jho Low memastikan saya menulis surat tadi, untuk Datuk Seri Najib minit kepada KSP dan pada masa yang sama dia memastikan KSP tahu tentang perkara ini. 

“Saya percaya bahawa Jho Low mengaturkan segalanya dan ia dalam pengetahuan Najib kerana beliau telah minit surat saya untuk menyegerakan hal itu walaupun ia adalah suatu yang kita sedia maklum bahawa bukan mudah untuk mendapatkan surat kerajaan daripada kerajaan,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel