Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Waspada berdepan musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 30/09/2019




KUALA TERENGGANU, 30 Sept -- Orang ramai dinasihat bersiap sedia dan berwaspada dalam menghadapi musim tengkujuh bermula Oktober.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata atas faktor keselamatan, orang ramai juga perlu mengelak daripada mengunjungi kawasan rekreasi air terjun kerana berkemungkinan berlaku penurunan air dalam kuantiti banyak dari hulu sungai dan mungkin berlaku kepala air.

Katanya, bermula Okt hingga Mac tahun depan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negeri itu menerima taburan hujan sekitar 500 milimeter hingga 1,000 milimeter.

“Ibu bapa juga diminta memantau anak-anak dan mengambil tahu setiap pergerakan mereka agar tidak bermain di kawasan berisiko. Setiap kali musim tengkujuh melanda...pelbagai kejadian tidak diingini telah direkodkan termasuk lemas di tali air, parit, sungai mahupun pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu di Mes Pegawai Bukit Pak Apil, di sini hari ini.

Katanya bagi persediaan musim banjir ini seramai 2,700 anggota penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia di seluruh Terengganu.

Balai polis yang berisiko ditenggelami banjir juga sedang melakukan persiapan perpindahan ke lokasi selamat bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas sepanjang tempoh monsun itu.

Terdahulu, Aidi menyaksikan serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu yang dipangku Timbalan Ketua Cawangan Khas (KCK) Risikan dan Operasi, Supt. Zainol Ahmad kepada ACP Mat Zake Jusoh yang sebelum ini memegang jawatan Superitenden Pentadbiran E7 Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel