Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tudung putih dan songkok di Kelantan laris berikutan berkabung


Tarikh kemaskini: 29/09/2019





KOTA BHARU, 29 Sept -- Tudung putih untuk perempuan dan songkok dilaporkan laris dibeli orang ramai malah di sesetengah pasar awam dilaporkan habis stok dan harganya meningkat berikutan perintah berkabung selama 40 hari kerana kemangkatan Sultan Ismail Petra, semalam.

Seorang kakitangan awam, Ayuni Arif, 35, berkata sejak semalam beliau mencari tudung berwarna putih di beberapa pasar di daerah ini kerana kehabisan stok.

"Memandangkan tiada tudung putih dalam koleksi, saya segera mencari di beberapa kedai pakaian termasuk di Melawi, Bachok tetapi diberitahu stok habis.

"Saya kemudian ke pasar Jelawat dan mendapati tudung pakai siap laku dan harganya pun sedikit meningkat dari RM15 menjadi RM30," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad mengumumkan arahan perkabungan bagi kakitangan kerajaan dan rakyat selama 40 hari dengan memakai tudung putih bagi perempuan dan songkok berkain putih di bahagian kemuncaknya.

Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II pada pukul 8.11 pagi semalam.

Sementara itu, peniaga tudung di Pasar Siti Khadijah di sini Rahimah Yusof, 55, berkata sejak semalam kedai tudung menjadi tumpuan pembeli wanita setelah arahan perkabungan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.

"Dari pukul 9.00 pagi semalam, ramai pelanggan mencari tudung putih bagi memenuhi arahan berkabung dan memilih tudung jenis bawal putih yang berharga RM12 hingga RM45.

"Harga tudung bawal ini bergantung kepada jenis manik yang ditampal di tudung itu dan saya akui sebelum ini warna tudung putih kurang mendapat sambutan tetapi kini menjadi rebutan," katanya.

Sebagai rakyat beliau turut mengajak orang awam supaya sama-sama mengenakan pakaian berkabung tanda kasih sayang kepada Almarhum.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel