Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nilai eksport produk kayu Malaysia cecah RM12.5 bilion bagi Januari-Julai 2019


Tarikh kemaskini: 28/09/2019




KOTA BHARU, 28 Sept  -- Nilai eksport produk kayu Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini mencecah RM12.5 bilion.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Mohd Kheiruddin Mohd Rani berkata, antara eksport kayu yang mempunyai nilai tambah tinggi ialah produk bingkai kayu dengan nilai eksport RM75.1 juta dan produk kayu kumai (RM512.3 juta).

“MTIB berkeyakinan penuh prestasi eksport produk kayu akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini ekoran permintaan tinggi di pasaran global didorong faktor pertumbuhan rancak industri pembinaan di negara pengimport,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menutup Pameran Perabot dan Gaya Hidup Berasaskan Kayu di sini.

Terdahulu, program yang berlangsung selama enam hari bermula 24 Sept dan akan berakhir esok itu  melibatkan 15 usahawan dari seluruh Kelantan yang mempamerkan pelbagai variasi produk berasaskan kayu.

Mohd Kheiruddin berkata penganjuran pameran berkenaan, sejak 2016 hingga 2018, dapat menjana nilai jualan berjumlah RM4.6 juta.

Beliau berkata nilai jualan yang direkodkan pada 2018 adalah sebanyak RM2.5 juta dengan penglibatan 10 usahawan.

“Pada tahun ini, MTIB yakin dapat mencapai sasaran sebanyak RM3 juta berdasarkan penambahan penyertaan sebanyak 15 usahawan yang mempamerkan variasi produk kayu keluaran anak tempatan.

“Malah, dalam pameran yang diadakan sepanjang tempoh tiga tahun ini, Kelantan adalah negeri ketiga yang mencatatkan nilai jualan tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Kedah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Kheiruddin berkata, MTIB dan Kementerian Industri Utama sentiasa komited dalam usaha memperkasakan ekonomi usahawan perkayuan bumiputera berasaskan pembangunan industri berasaskan komoditi.

“Pelbagai program telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi bagi membantu meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam industri perkayuan, termasuk sokongan bahan mentah dan Skim Usahawan Perabot Bumiputera selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

“Dalam masa yang sama MTIB turut menyediakan latihan dan bimbingan terutama untuk belia bumiputera yang berminat  serta meningkatkan kemahiran dalam industri perkayuan menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel