Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

30 pempamer sertai Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





KUALA PILAH, 28 Sept -- Sebanyak 30 pempamer berkongsi ilmu dengan mempersembahkan projek-projek inovasi yang dihasilkan mereka dalam usaha menyemarakkan pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan masyarakat pada Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.

Pameran cat air kosmetik organik yang dihasilkan Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2, Seremban adalah antara yang mencuri tumpuan pengunjung ke pameran yang berlangsung seawal 9 pagi tadi.

Bercakap kepada Bernama, guru sekolah berkenaan, Suraiya Hani Md Yunos, 35, berkata pihaknya menghasilkan produk berkenaan menggunakan bahan alam semula jadi seperti bunga roselle, bunga telang, kunyit, daun pandan, dakwat sotong dan mutiara Sabah.

“Kita hasilkan produk cat air organik kosmetik ini yang diberi nama 'Aquarellic' untuk disebar luas kepada semua golongan tanpa meminggirkan pelajar istimewa seperti buta warna dengan memudahkan mereka menggunakan cat air ketika mewarna sebuah lukisan.

"Selain untuk kegunaan lukisan, produk ini juga boleh dijadikan alat kosmetik untuk pembayang mata, pemerah pipi dan gincu. Jadi produk Aquarellic ini mempunyai pelbagai jenis kegunaan bukan setakat bagi kegunaan lukisan namun boleh dijadikan sebagai alat solekan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata produk Aquarellic juga telah memenangi pingat emas dalam Pertandingan International Science and Invention Fair (ISIF) 2019 bagi kategori Pendidikan di Bali, Indonesia pada Jun lepas.

“Program pada hari ini dapat membantu mempromosikan serta mendedahkan produk Aquarellic lebih mendalam kepada orang awam. Terdapat  pengunjung yang menunjukkan minat dan mula bertanya bila produk ini akan dijual dalam pasaran.

"Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat pendedahan kepada orang awam. Sekiranya tiada sebarang halangan, kita akan mula memasarkan produk ini pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rosli Isa, 45, ketika ditemui berkata program berkenaan amat baik dalam usaha mendedahkan generasi muda kepada pemikiran kreatif selain mempersiapkan mereka dalam menghadapi kedatangan Revolusi Industri 4.0.

"Program ini perlu diteruskan kepada golongan remaja dan bagi golongan pertengahan umur seperti saya, banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari contohnya tanaman yang boleh dijana dengan sumber elektrik, kos yang rendah dan sebagainya," katanya.

Program lima hari itu bermula hari ini dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan merupakan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Pelbagai acara disediakan kepada pengunjung yang hadir antaranya pertandingan Push Bike, Solar Boat, Futsal, Bola Jaring 3 On 3, Roket Air dan pameran Sains, Inovasi dan Teknologi.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel