Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ICFL sasar sedia pemain berkualiti untuk negara


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





SERDANG, 28 Sept  -- Penganjuran Super Inter Club Football League (ICFL) yang bermula hari ini menyasarkan untuk menyediakan pemain bola sepak berkualiti untuk negara pada masa hadapan. 

Presiden ICFL Datuk Kamil Mokhtar berkata kejohanan melibatkan pemain berusia 14 tahun itu diadakan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat muda menonjolkan potensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi. 

Beliau berkata sebanyak 16 pasukan dari sekitar Lembah Klang mengambil bahagian selepas melepasi pusingan saringan atau kelayakan membabitkan 32 pasukan yang diadakan bermula April lepas. 

"ICFL menyasarkan penglibatan pasukan terbaik, sebab itu kami adakan pusingan kelayakan…bermakna pasukan dengan pemain terbaik sahaja beraksi pada pusingan akhir ini. 

"Kami memilih umur 14 tahun kerana yakin pemain pada usia itu telah matang mengenai bola sepak, malah mereka juga mudah menerima teguran dan arahan serta memiliki kemahiran yang tinggi untuk berjaya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ICFL di sini hari ini. 

Hadir sama President Park Lane Group Of Companies Datuk Seri Dr Wan Fazil Wan Farid yang juga Penaung ICFL. 

Kamil berkata sebuah jawatankuasa pemilihan yang diketuai bekas pemain Selangor dan kebangsaan Shahril Arsat yang juga ikon ICFL akan bertindak memilih 27 pemain paling berpotensi daripada kejohanan itu bagi mewakili pasukan Pilihan ICFL. 

Pasukan ini akan dilatih oleh Shahril sebagai persediaan ICFL menyertai liga-liga di Thailand dan Singapura dengan ujian pertama mereka ialah perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab dari Indonesia pada 2 Nov ini. 

ICFL akan berlangsung selama tiga bulan dan dijangka berakhir pada akhir November dengan semua perlawanan dilangsungkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad di Padang A dan B Universiti Putra Malaysia (UPM).

Juara akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, piala pusingan bernilai RM50,000 beserta medal, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM5,000 dan RM2,000 serta medal. 

Sementara itu, Wan Fazil berkata penglibatan syarikatnya dalam ICFL dianggap sebagai usaha kecil mereka mengangkat martabat dan mengembangkan potensi sukan bola sepak kepada generasi muda. 

Beliau berharap ICFL boleh menjadi titik permulaan pemain remaja beranjak ke tahap profesional apabila ditawarkan peluang beraksi di peringkat lebih tinggi selepas mempamerkan kualiti sepanjang liga berlangsung. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel