Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program Botani Desa bantu kurangkan belanja dapur - Rina


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





NILAI, 28 Sept  -- Program Botani Desa, yang diwujudkan bagi mengurangkan perbelanjaan dapur dengan menggalakkan guna tanah di persekitaran rumah secara optimum, menyasarkan penyertaan  3,000 peserta pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia menyasarkan kepada ibu tunggal dan suri rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.

"Program Botani Desa adalah sebahagian daripada program Kesejahteraan Keluarga di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), yang menekankan aspek teknik penanaman, penjagaan sehingga penuaian hasil.

"Sedikit sebanyak penggunaan kawasan secara optimum ini dapat menjimatkan perbelanjaan dapur selain mampu menjana sumber pendapatan sampingan jika dilaksanakan secara serius," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan program Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat Negeri Sembilan yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Ismail Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Program berkenaan yang juga kerjasama antara Kemas bersama Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan bukan kerajaan (NGO), diadakan sebanyak 187 siri kursus di 287 buah kelas kemahiran Kemas di setiap negeri.

Rina berkata, peserta program Botani Desa akan diberikan bantuan peralatan asas, benih, baja dan kursus pada peringkat awal pelaksanaannya dan mereka yang layak boleh memohon menerusi Kemas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya memohon peruntukan tiga kali ganda untuk tahun hadapan bagi Belanjawan 2020 bagi meningkatkan sosio-ekonomi dan modal insan masyarakat di luar bandar.

"Ia bukan sahaja untuk projek pembangunan infrastruktur dan fizikal, tetapi kita nak fokus kepada projek kesejahteraan rakyat. Kalau infra, sebagai contoh, lampu jalan kampung kita dah dapat bajet tahun ini hingga tahun hadapan.

"Rumah projek perumahan rakyat termiskin iaitu baik pulih dan bina baharu, ini yang kita nak minta tambah. Lepas itu jalan perhubungan desa, baiki surau dan balai raya. Ini kemudahan asas yang diperlukan masyarakat selain yang lain, bekalan air dan elektrik," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel