Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buntu mahu beli peralatan sokongan anak tiri


Tarikh kemaskini: 27/09/2019




KUANTAN, 27 Sept -- Seorang suri rumah buntu untuk mencari wang bagi membeli alat sokongan dianggarkan bernilai RM12,500 buat anak tirinya berusia lima tahun yang patah tengkuk akibat kemalangan Isnin lepas. 

Noraini Nordin, 32, berkata peralatan sokongan itu perlu dibeli bagi membolehkan Nur Aisyah Humairah Mohd Nasrul menjalani pembedahan yang diperlukannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, secepat mungkin. 

Beliau berkata keadaan bertambah buruk kerana suaminya Mohd Nasrul Ghazali, 37, juga sedang dirawat di HTAA kerana patah bahagian rahang mulut dan kedua-dua belah kaki akibat kemalangan itu. 

"Kemalangan berlaku semasa suami dalam perjalanan menghantar anak (Nur Aisyah Humairah) ke tadika di Sungai Soi... saya hanya tahu kereta Perodua Kancil suami bertembung dengan sebuah lagi kereta Kancil. 

Selain patah tengkuk, anak juga mengalami pendarahan dalam kepala menyebabkan dia koma selama tiga hari. Tapi, saya diberitahu anak akan dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa hari ini sementara menunggu pembedahan," katanya semasa ditemui pemberita di HTAA di sini, hari ini.

Noraini berkata sejak Isnin lepas, beliau masih belum pulang ke rumah kerana 'berkampung' di HTAA menjaga suami dan anaknya yang masing-masing ditempatkan di wad tingkat lima dan tingkat empat hospital berkenaan. 

Beliau juga memaklumkan baharu berkahwin dengan Mohd Nasrul sebulan lalu, dan selain Nur Aisyah Humairah, mereka mempunyai tiga lagi anak termasuk dua daripada perkahwinan terdahulu Noraini. 

Tiga lagi anak yang berusia antara tujuh dan empat tahun kini diletakkan di bawah jagaan nenek mereka di Cherok Paloh di sini, sementara Noraini berada di hospital. 

"Saya buntu bila memikirkan tentang kos rawatan anak kerana hanya suami yang bekerja. Itu pun, suami baharu sebulan bekerja sebagai tukang masak di asrama institusi pengajian tinggi swasta di sini. 

Sebelum ini, suami bekerja sebagai tukang masak di Bangi. Saya masih tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan sebenar Nur Aisyah Humairah kepada suami kerana tidak mahu dia bimbang," katanya. 

Noraini berkata beliau ada membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung pembelian peralatan sokongan itu, namun setakat ini tidak tahu status permohonan tersebut. 

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat membantu membiayai kos rawatan Nur Aisyah Humairah dengan menyumbang ke dalam akaun CIMB 7034781974 miliknya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel