Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangan terlalu ghairah cari gol - Nafuzi


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





KUALA TERENGGANU, 27 Sept -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah mencari gol ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Kelantan itu mahu pemainnya memberi sepenuh fokus sepanjang 90 minit permainan dan sentiasa berwaspada di bahagian pertahanan untuk mengimbangi corak taktikal pasukan lawan.

"Walaupun kita perlu menyerang dan mendapatkan dua gol untuk mengatasi JDT sekali gus mara ke peringkat separuh akhir, jangan terlalu ghairah dan perlu sentiasa berwaspada terutama di bahagian pertahanan bagi mengelak gawang kita daripada dibolosi.

"Selain bermain dengan bijak, yakin dan tanpa rasa takut, pemain juga perlu patuh pada segala  perancangan taktikal yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu pada 21 Sept lepas, TFC tumpas 0-1 kepada JDT.

Mengulas lanjut, bekas penyerang pasukan Terengganu itu berkata mental pemainnya juga berada dalam keadaan terbaik dan bersedia menyerap tekanan daripada pemain dan penyokong JDT pada perlawanan berkenaan.

Ini kerana, beliau berkata Stadium Larkin merupakan kubu kuat JDT dan pasukan tersebut hanya tewas sekali di laman sendiri dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila tumpas 0-1 kepada PKNS FC dalam pusingan ketiga Piala FA, April lepas.

"Kita tahu cabaran bermain di Larkin memang hebat, tetapi kita akan beraksi bermati-matian untuk mara ke separuh akhir.

"Setakat ini, prestasi pemain juga dalam keadaan baik kecuali Ahmad Syamim Yahaya dan Thierry Chantha Bin yang baru pulih daripada kecederaan, namun belum cergas sepenuhnya untuk beraksi," kata Nafuzi.

Selain itu, beliau berkata TFC juga bersedia untuk beraksi selama 120 minit sekiranya permainan diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel