Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Derita pemanjat kelapa dalam koma dapat perhatian


Tarikh kemaskini: 27/09/2019




PASIR PUTEH, 27 Sept -- Kesengsaraan seorang pemanjat kelapa  Shah Ahmad Nizan  Salleh, 36, yang masih koma dan terlantar selepas terjatuh daripada pokok kelapa sejak Julai lepas di Kampung  Bukit  Tanah, Semerak, sedikit terbela apabila mendapat bantuan daripada  pelbagai pihak.

Terbaharu Ketua Jajahan Pasir Puteh Ab Pattah Hasbullah menyampaikan bantuan berbentuk bekalan makanan dan wang ringgit bagi meringankan beban keluarganya.

“Kami akan terus berusaha  untuk membantu  mengikut  keperluan mangsa dan keluarga, “ kata Ab Pattah  kepada Bernama ketika  ditemui  selepas menyampaikan  bantuan  berkenaan  di rumah mangsa yang terletak di belakang Sekolah Kebangsaan  Bukit Tanah di sini, hari ini.

Turut serta dalam rombongan berkenaan  termasuk Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat  Melayu Kelantan (MAIK) Rusyde Abdullah.

Ab Pattah berkata,  beliau juga  akan memohon  bantuan dari MAIK untuk membina rumah baharu yang lebih selesa bagi keluarga berkenaan kerana rumah  yang didiami  sekarang  yang dibina daripada kayu sudah usang.

Sementara itu, isteri mangsa, Syamsuria  Pazlinawati  Roslan, 32, berkata, beliau  bersyukur  mendapat  perhatian  dan  bantuan berkenaan sekurang-kurang dapat meringankan beban keluarganya  untuk membeli susu  dan lampin pakai buang yang menelan belanja antara RM50  hingga RM70 sehari bagi keperluan mangsa tidak termasuk perbelanjaan keluarga.

“Sejak kemalangan itu saya tidak dapat bekerja  kerana  terpaksa merawat  mangsa  yang  mendapat  bantuan alat pernafasan sumbangan Pejabat  Kebajikan Masyarakat  Pasir Puteh dan memberi susu menerusi tiub,” katanya.

 Beliau berkata, sebelum  ini  beliau dan keluarga terutama ibu angkat yang mengambil upah sebagai “tukang urut”  terpaksa menggunakan wang simpanan bagi menampung keperluan mangsa setiap hari.

Syamsuria berkata,  suaminya mendapat cedera parah di seluruh anggotanya dalam kejadian itu selepas terjatuh di atas pokok dipercayai tergelincir  ketika mengambil upah  menebang  pokok kelapa setinggi lima meter dengan menggunakan gergaji rantai di Bachok,  awal Julai lepas.

“Akibat kecederaan itu beliau terpaksa dirawat di Hospital  Universiti  Sains Malaysia (USM), Kubang Krian selama 20 hari sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Kedua-dua pasangan itu mempunyai empat orang anak masing-masing berumur  antara satu hingga 11 tahun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel