Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

NAFAS mahu PPK realisasikan lima kluster baharu bagi tingkatkan pendapatan


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





PASIR MAS, 27 Sept -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mahu ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini melibatkan diri dalam lima kluster baharu, bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata lima kluster baharu tersebut adalah sektor padi, industri ayam, perladangan, pembekalan dan juga ternakan.

“Dari sektor padi, kita boleh mempelopori semula penanaman padi wangi, malah di negeri ini sudah ada kira-kira 1,000 ekar tanah yang diusahakan tanaman padi wangi ini, dan padi ini juga boleh mendatangkan keuntungan sehingga RM300 bagi satu tan berbanding padi biasa,” katanya kepada pemberita di Program Kasih Peladang Kelantan, di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 di sini hari ini

Turut hadir Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Senator Dr Yaakob Sapari, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman dan Pengerusi PPK Rantau Panjang Husin Ismail. 

Mohd Hisyamuddin berkata, ahli PPK selain diminta untuk lebih kreatif dalam sektor perladangan, NAFAS turut menggalakkan mereka untuk menjadi pembekal dalam industri ayam. 

"NAFAS terlibat dalam pembekalan industri ayam bagi projek-projek kerajaan termasuk untuk hospital, kem-kem tentera  dan sebagainya, jadi kita akan buka peluang kepada usahawan di negeri ini untuk menjadi pembekal kepada pihak kami,” katanya.

Katanya, menerusi sektor pembekalan beliau turut mendorong supaya ahli PPK memanfaatkan sebaik mungkin sempadan Thailand-Malaysia, terutamanya di Rantau Panjang bagi memaksimumkan pendapatan mereka. 

“Sempadan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, kerana jika tidak mungkin pendapatan petani akan terjejas teruk selain menyokong usaha baik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu mengehadkan import cili luar masuk ke negara ini.

“Kalau dahulu, harga cili di pasaran hanya RM4 hingga RM5 sekilo, tetapi kini ianya sudah meningkat sehingga RM10 hingga RM12 sekilo,” katanya. 

Mohd Hisyamuddin berkata, dari sektor ternakan pula, sepatutnya ternakan lembu paling banyak di Malaysia, namun apabila kita lihat dari segi fizikalnya, penternak di negara ini kurang. 

“Jika ahli PPK menceburi sektor ini, sekurang-kurangnya paling mudah mereka boleh menjalankan perniagaan pusat kuarantin bagi ternakan lembu. 

“Biasanya lembu akan dikuarantin bagi tempoh 10 hingga 14 hari, dan harga yang dikenakan untuk kuarantin adalah RM10 sehari, jadi sekurang-kurangnya mereka sudah mampu menjana sehingga RM140 bagi seekor lembu,” katanya.

Terdahulu, menerusi Program Kasih Peladang Kelantan Mohd Hisyamuddin menyampaikan sumbangan wang tunai RM59,000 iaitu sebahagian daripada wakalah zakat perniagaan NAFAS kepada 295 penerima yang terdiri daripada asnaf peladang dan asnaf pelajar dari lima PPK di negeri ini.

Katanya, pemilihan penerima pada program hari ini adalah daripada semakan dan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bersama PPK Kubang Bunut, PPK Alor Mas, PPK Chetok, PPK Kangkong dan PPK Rantau Panjang.

“Program hari ini merupakan penganjuran kali kedua di negeri ini, iaitu kali pertama telah diadakan pada 25 Julai lalu dengan sumbangan zakat sebanyak RM 41,000 kepada seramai 215 penerima asnaf peladang dan pelajar,” katanya. 

Program ini juga melibatkan 10 lokasi di seluruh negara termasuk Johor, Kedah, Pahang, Perlis dan juga Kelantan yang memberi manfaat kepada kira-kira 4,300 orang penerima bagi tahun ini. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel