Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penternak ikan sangkar di Tumpat tangguh kemasukan benih ikan ekoran jerebu


Tarikh kemaskini: 26/09/2019





KOTA BHARU, 26 Sept (Bernama) -- Penternak ikan sangkar Laguna Sri Tujoh, Tumpat mengambil keputusan tidak memasukkan benih ikan baharu sejak beberapa minggu lepas ekoran jerebu.

Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh, Mohd Saifullah Che Mat berkata langkah itu diambil kerana bimbang keadaan jerebu akan menyebabkan kematian ikan dan penternak akan mengalami kerugian.

"Selepas mendapati jerebu melanda negara sejak beberapa minggu lepas semua penternak mengambil keputusan menangguhkan dahulu kemasukan benih ikan baharu dalam sangkar.

"Keadaan jerebu dikhuatiri akan mengurangkan oksigen kepada ternakan yang berkemungkinan akan menyebabkan ikan mati. Setakat ini tiada ikan yang sedia ada dalam sangkar yang mati," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Saifullah berkata, bagaimanapun proses kemasukan benih ikan mungkin akan dilakukan tidak lama lagi kerana keadaan jerebu sudah beransur baik berikutan perubahan monsun telah bermula.

"Keadaan cuaca semasa ketika ini memberi kelegaan kepada penternak selepas hampir dua minggu aktiviti memasukkan benih ikan baharu ke dalam sangkar tergendala," katanya.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 102 pengusaha ternakan ikan sangkar jenis kerapu dan siakap di laguna itu dengan anggaran keseluruhan 5,000 buah sangkar dengan purata 400 ekor ikan bagi setiap sangkar.

Sebagai langkah berjaga-jaga setiap pengusaha ternakan menyediakan peniup dan enjin galah bagi meningkatkan kadar oksigen dalam sangkar.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak sebelum ini dilaporkan menasihatkan penternak ikan air tawar dan air payau di negeri ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan kadar tebaran benih ikan dalam kolam ternakan bagi mengurangkan kepadatan bilangan ikan.

Langkah itu sebagai persediaan untuk mengelakkan tekanan kepada ternakan supaya kadar oksigen yang terlarut untuk ternakan mencukupi.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kelantan berada pada tahap tidak sihat tiga hari lepas dengan bacaan melebihi 110 di dua stesen di negeri ini baru-baru ini bagaimanapun telah kembali pada paras sederhana selepas hujan dan perubahan monsun berlaku.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel