pJOjpmlaF9Y Mayat bayi lelaki ditemukan dalam mangkuk tandas
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mayat bayi lelaki ditemukan dalam mangkuk tandas


Tarikh kemaskini: 23/09/2019





KUANTAN, 23 Sept -- Tandas tersumbat dan warna air yang berubah menjadi merah membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan di stesen bas Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini, hari ini.

Pemandu teksi yang berpangkalan di TSK, Wan Subhi Wan Jusoh, 54, berkata beliau dan tiga lagi kenalan sedang bersembang semasa dipanggil seorang pekerja wanita pembersihan terminal sekitar pukul 9 pagi. 

Wanita itu, menurut Wan Subhi menjerit menyatakan terdapat tandas yang bertakung dengan air bercampur darah dan apabila dipam, air tersebut melimpah keluar dari mangkok tandas. 

"Pada mulanya kami menyangka ada yang membuang tuala wanita, tapi bila diperiksa, nampak seperti ada uri terapung menyebabkan seorang daripada kami menggunakan dawai untuk mengambil uri tersebut.

"Walaupun uri sudah diangkat, tandas tetap tersumbat menyebabkan kami mengsyaki ada bayi tersangkut kerana melihat terdapat tali pusat di situ dan terus menghubungi polis," katanya semasa ditemui Bernama di sini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata walaupun dipercayai tidak cukup bulan, bayi lelaki itu sudah cukup sifat dan tandas itu sebenarnya ditutup kepada orang awam sejak Khamis lalu (19 Sept) bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf.

"Rakaman kamera tertutup (CCTV) di terminal itu mendapati terdapat seorang wanita berbaju hitam masuk ke tandas pada 5.58 pagi bersama beg dan keluar kira-kira setengah jam kemudian dengan memakai baju kurung. 

"Polis kini sedang mengesan wanita itu yang dipercayai suspek utama kes ini dan berharap orang ramai termasuk pemandu teksi yang ada mengambil penumpang wanita mencurigakan pada awal pagi untuk tampil membantu siasatan," katanya. 

Mohamad Noor berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan  (HTAA) di sini untuk bedah siasat. 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel