Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gabungan empat negara kongsi teknologi pertanian, makanan


Tarikh kemaskini: 23/09/2019




KOTA BHARU, 23 Sept -- Sebanyak 14 institusi pengajian tinggi dari empat buah negara bersetuju untuk berkongsi maklumat mengenai perkongsian ilmu melalui Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi pertanian dan makanan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Ishak Mohamad berkata ia melibatkan pembabitan dalam satu konvensyen yang disertai oleh 188 pelajar dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Konvensyen ini diadakan selama empat hari bermula semalam hingga 25 Sept ini yang membabitkan pemindahan ilmu dan teknologi seperti produk inovasi, contohnya pembinaan model mini, pembentangan kertas kerja dan penyesuaipadankan nombor pada komponen traktor.

"Konvensyen tahunan ini dijalankan untuk memberi pendedahan serta perkongsian pengetahuan kepada peserta dalam bidang pertanian dan makanan yang mana ia sudah diadakan sejak 2015 mengikut giliran empat negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasminkan Konvensyen Tahunan Pelajar Kejuruteraan Pertanian Wilayah Asia Tenggara 2019 (ARC2019) Kali Ke-5 di Dewan Jubli Perak PKB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKB, Kamaludin Daud dan Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin.

Ishak berkata pada tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah dan Politeknik Kota Bharu (PKB) dipilih untuk penganjuran konvensyen kali ini selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada empat tahun lalu.

"Tema penganjuran ARC2019 pada tahun ini ialah 'Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem Ke Arah Matlamat Pembangunan Lestari 2030'.

"Kepentingan penganjuran ARC2019 ini diharap dapat menjadi batu loncatan kepada peserta konvensyen di dalam mencetuskan idea dan ilmu semasa yang berkaitan dengan bidang pertanian dan makanan negara," katanya.

Beliau berkata melalui pembentangan yang akan dilakukan oleh peserta ia secara tidak langsung dapat menghasilkan hujah serta ilmu yang sesuai untuk diaplikasikan di dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.

Katanya pada masa sama, ia menjadi titik tolak di dalam menghasilkan inovasi, komponen atau jentera sebenar yang boleh diaplikasikan di dalam sektor berkenaan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel