Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kemalangan maut di tapak pembinaan Kelantan menurun


Tarikh kemaskini: 23/09/2019




KOTA BHARU, 23 Sept -- Jumlah kemalangan maut di kawasan tapak pembinaan di Kelantan menunjukkan penurunan drastik dalam tempoh empat tahun bermula 2016 dengan sifar kes maut dicatatkan sehingga September tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan Ir Abdul Aziz Salim berkata kadar kemalangan maut di tapak pembinaan adalah seramai empat orang pada tahun 2016 menurun kepada tiga kes pada 2017 dan satu kes pada tahun lepas.

"Sehingga September tahun ini tiada sebarang kemalangan maut dicatatkan. Penurunan ini adalah satu perkembangan positif selepas Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (OSHCIM) mula dilaksanakan pada 2017. Kita harap industri pembinaan di negeri ini mencapai sifar kes maut tahun ini dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan OSHCIM Kali Kedua Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Garis panduan OSHCIM adalah satu pendekatan baharu melalui reka bentuk yang perlu dipraktikkan oleh semua pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan.

Abdul Aziz berkata dalam peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, tanggungjawab berkaitan keselamatan pekerja perlu digalas oleh kontraktor yang bertindak sebagai majikan.

Katanya kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia kini sedang dalam fasa meminda akta itu bagi menambah baik peruntukan berkaitan tanggungjawab semua pihak termasuk pemaju, kontraktor dan pereka untuk membuat penaksiran risiko dan mengambil peduli terhadap isu keselamatan dari awal fasa projek pembinaan.

"Kerajaan menggalakkan penggunaan garis panduan OSHCIM dalam sebarang projek pembangunan dan menjadi hasrat kerajaan untuk menjadikan syor yang terkandung dalam OSHCIM sebagai mandatori menjelang 2020," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata secara umumnya pekerjaan di tapak pembinaan terdedah kepada bahaya yang lebih tinggi berbanding tempat kerja sektor lain.

Antara risiko itu ialah jatuh dari tempat yang tinggi, ditimpa objek yang sedang diangkat, cedera akibat penggunaan jentera berat selain terdedah kepada bunyi yang kuat.

Katanya kemalangan yang berlaku memberi kesan kepada banyak pihak terutama keluarga hilang tempat bergantung, kontraktor kehilangan pekerja terlatih, aktiviti kerja tergendala selain terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa jika didapati melanggar peruntukan akta yang dikuatkuasakan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel