Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suspek kes tembak akan dikenal pasti dalam tempoh terdekat


Tarikh kemaskini: 22/09/2019





KOTA BHARU, 22 Sept  -- Polis Kelantan percaya suspek dalam kejadian tembak di sebuah kedai makan di Kampung Neting, Tumpat, Jumaat lalu akan dapat dikenal pasti tidak lama lagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setakat ini polis sudah merakamkan tiga percakapan termasuk dua daripada rakan mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30-an.

Beliau berkata motif kejadian juga masih belum dikenal pasti sama ada bermotifkan peribadi atau perniagaan.

"Setakat ini maklumat yang diperolehi daripada mangsa hanya sedikit kerana dia masih trauma.

"Namun siasatan awal mendapati mangsa adalah anak kepada tauke bot ikan di Tumpat," katanya kepada pemberita pada Majlis Ikatan Kasih dan sambutan Maal Hijrah 1441 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam program berkenaan sebanyak 10 kawah bubur asyura berjaya disiapkan dan dibahagikan kepada Rumah Anak-Anak Yatim dan Rumah Orang Tua Taman Seri Kenangan.

Menurut Hasanuddin, siasatan polis mendapati suspek yang melepaskan tiga das tembakan dipercayai menggunakan pistol jenis revolver.

Dalam kejadian jam 3.15 petang, Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun cedera di tangan dan paha kanan selepas ditembak oleh seorang lelaki ketika sedang menjamu selera bersama rakannya di sebuah kedai makan di Kampung Neting dekat Pengkalan Kubor, Tumpat.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa yang berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya melarikan diri.

Difahamkan, mangsa yang cedera bertindak melarikan diri ke rumah penduduk berdekatan dan bernasib baik kerana suspek yang melepaskan tembakan gagal menemuinya selepas itu.

Ekoran kejadian itu polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel