Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jualan semakin 'perlahan' akibat jerebu


Tarikh kemaskini: 22/09/2019





KUANTAN, 22 Sept -- Keadan jerebu yang dialami di sini sejak minggu lepas bukan hanya menjejaskan kesihatan, namun turut menyukarkan mereka yang berniaga makanan. 

Rata-rata peniaga yang ditemui Bernama di sini hari ini, mengakui jualan mereka semakin 'perlahan' dalam keadaan berjerebu, jika dibandingkan pada hari-hari sebelumnya. 

Peniaga makanan di Taman Bandar, Wan Husniza Wan Hussain, 36, berkata pengunjung ke taman rekreasi itu amat berkurangan sejak minggu lalu, menyebabkan ada peniaga di situ menghentikan sementara perniagaan kerana 'tidak pulang modal'. 

"Taman ini selalunya meriah tapi mungkin disebabkan jerebu, ibu bapa tidak begitu suka membawa anak mereka ke taman awam seperti ini...mungkin bimbang anak terkena batuk, selesema atau sakit tekak yang selalu dikaitkan dengan jerebu. 

"Selalunya jualan seperti keropok goreng dan kuih-muih akan habis menjelang tengah hari, tapi hari ini, masih banyak lagi yang tidak terjual. Tapi hendak atau tidak, saya perlu berniaga kerana pendapatan adalah mengikut harian," katanya. 

Bagi Norsham Marzuki, 27, yang membantu kakaknya berniaga nasi lemak di Alor Akar di sini, berkata mereka tidak menyangka jerebu kembali teruk pada hari ini, kerana melihat keadaan cuaca semakin baik sejak dua hari lepas. 

Katanya, keadaan berjerebu menyebabkan gerai mereka agak kurang dikunjungi berkemungkinan kerana pelanggan lebih gemar berada di dalam kereta ketika perjalanan dari rumah ke tempat kerja. 

"Selain itu, mereka yang singgah di sini selalunya mereka yang baru pulang daripada berjoging di taman atau memanjat bukit berhampiran. Bila mereka tidak boleh beriadah, secara tidak langsung rezeki kami juga kurang," katanya. 

Bagi Muhammad Saiful Amri Abu Khalid, 33, yang menjadikan amalan berjoging di Taman Bandar setiap minggu mengakui terdapat penurunan yang agak ketara dalam bilangan pengunjung ke situ pada hari ini. 

"Biasanya tempat letak kereta di sini penuh jika kita datang pukul 8 pagi ke atas, tapi hari ini tak sampai 10 kereta yang ada. Untuk hari ini, saya pun tidak mahu berlama-lama kerana tengok keadaan (jerebu) semakin teruk," katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Ely Irna Adnan, 37, mengharapkan keadaan jerebu semakin baik kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin baik semalam, namun agak kecewa apabila melihat perkara sebaliknya berlaku hari ini. 

Beliau berkata keadaan jerebu juga menyebabkan penglihatan sekitar agak terbatas, kerana tidak dapat melihat keadaan hutan di kawasan berbukit yang lazimnya boleh dilihat dengan jelas walaupun terletak agak jauh. 

Setakat 3 petang tadi, Indera Mahkota dan Balok Baru di sini mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 153 dan 140 berbanding 83 dan 82 pada petang semalam, yang dikategorikan sebagai sederhana. 

Tiga lagi kawasan di Pahang juga mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Jerantut (141) Temerloh (135) dan Rompin (118). 

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel