Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan mohon peruntukan RM291 juta naik taraf infrastruktur sukan


Tarikh kemaskini: 22/09/2019





KOTA BHARU, 22 Sept  -- Kerajaan Kelantan memohon peruntukan sebanyak RM291 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata permohonan peruntukan itu sebagai persediaan jika negeri ini terpilih menjadi tuan rumah bagi Sukan Malaysia (Sukma) yang ke-22 nanti.

“Kita sudah usul permohonan sebanyak RM291 juta ini kepada KBS, iaitu termasuk peruntukan untuk membina stadium tertutup di negeri ini dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Titans Sportdays 2019 anjuran UNITAR International University (UNITAR) di Kompleks Sukan Sekolah-Sekolah Kota Bharu di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Teknologi ANS, Mohd Nasir Idris dan Pengurus Pusat Wilayah UNITAR Kota Bharu, Ramlan Awang Omar.

Wan Roslan berkata daripada peruntukan yang dimohon, sebanyak 70 peratus akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan sukan sedia ada manakala 30 peratus lagi akan digunakan untuk membina infrastruktur baharu. 

“Kita bukan nak semua yang baharu, sekarang stadium badminton sudah ada, Stadium Sultan Muhammad IV pun dah ada, cuma bila adanya peruntukan ini nanti, kita akan baik pulih,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Roslan berkata pihaknya bersedia menerima nasihat dan garis panduan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai Stadium Sultan Muhammad IV yang dikenal pasti tidak mempunyai sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF).

“Kalau ikutkan melalui pandangan kita, stadium itu sudah lengkap dan berkeadaan baik, namun kita bersedia untuk laksanakan apa yang perlu dilakukan untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan JBPM mengeluarkan kenyataan 13 daripada 21 stadium utama di seluruh negara didapati berbahaya dan berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini apabila tidak mempunyai CCC atau dikenali sebagai CF.

Ketiadaan sijil terbabit di stadium berkenaan disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi.

Stadium yang dikenal pasti antaranya Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel