Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencapaian cemerlang anak kampung dalam industri minyak dan gas


Tarikh kemaskini: 22/09/2019





Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU, 22 Sept -- Di sebalik pencapaian membanggakan sektor minyak dan gas negara, termasuk syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), terselit ramai ‘wira tak didendang’ anak watan yang menyumbang kepada kejayaan itu.

Siapa sangka seorang daripadanya adalah anak kampung yang pernah disindir hanya layak mengembala kambing kerana bersekolah Melayu dan miskin, namun berkat keikhlasan bekerja akhirnya beliau menempa pelbagai kejayaan dalam bidang minyak dan gas.

Lebih membanggakan Ruzlle Abd Ghani, 62, yang berkhidmat selama 30 tahun dengan Petronas merupakan rakyat Malaysia pertama diberi tanggungjawab mengambil alih tugas di bahagian operasi, yang didominasi warga Eropah ketika itu.

Mengimbau kenangan masa kecil, beliau yang sentiasa menampilkan sikap rendah diri sepanjang ditemu bual Bernama baru-baru ini berkata bapanya, Abdul Ghani Mohamad hanyalah buruh kasar manakala ibunya, Aminah Hassan, seorang suri rumah.

Kehidupannya bersama empat beradik agak sukar dan perlu berjalan kaki ke sekolah sejauh lima kilometer setiap hari serta tidak mampu menyertai mana-mana aktiviti luar meskipun beliau adalah pelajar pintar ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga dan Sekolah Menengah Panji Alam.

“Masih terngiang-ngiang suara orang yang menyindir saya bahawa hanya layak jadi pengembala kambing...tiada masa depan. Tetapi saya buktikan dengan kesungguhan dan jati diri yang tinggi mampu mengubah kehidupan,” katanya.

Ruzlle berkata sebagai anak sulung, beliau sentiasa patuh kepada kehendak keluarga dan pernah diminta melupakan pelajaran untuk mendapatkan kerja sebagai budak pejabat ketika berusia 15 tahun atas kehendak ibunya supaya membantu keluarga.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian setelah diarah pulang dan kembali ke sekolah oleh petugas di pejabat terbabit.

Ruzlle berkata Pelantar Duyong menjadi medan pertama untuk beliau menonjol dan ketika diberi amanah sebagai  ‘Production Specialist’ pada 1984 bagi menggantikan seniornya dari Scotland, beliau tidak toleh ke belakang malah terus menyumbang dalam melancarkan operasi cari gali minyak dan gas di perairan negara.

Beliau bertanggungjawab menguruskan pergerakan syif petugas dan atas bimbingan rakan berpengalaman, beliau menyediakan pelan tugasan harian bagi memastikan operasi berterusan tanpa masalah terutama dalam mencapai sasaran perolehan yang telah ditetapkan.

Selepas berjaya mengharungi cabaran pengeluaran minyak dan gas di Malaysia, beliau ditugaskan pula ke Sudan pada 1999 bukan sahaja untuk kerja-kerja ‘commissioning’, ‘start up’ dan operasi, malah turut bertanggungjawab membimbing pekerja tempatan negara itu dalam mengendali operasi loji. 

Menurut beliau, pengalaman di Sudan banyak menambah baik jati dirinya apatah lagi ia merupakan pengalaman pertama bertugas di sebuah negara yang tidak mempunyai kemudahan asas dan peralatan seperti mana di Malaysia.

“Kami perlu bekerja di bawah cuaca yang sangat panas, sekitar 51 darjah Celsius. Paling tidak dapat dilupakan ialah kenangan ketika di Sudan selama tiga tahun. Pernah ketika dalam perjalanan balik ke kawasan operasi cari gali, pajero yang dinaiki saya dan rakan ditahan oleh pihak tentera dan kami diacu senjata M16.

“Nasib baik selepas diperiksa saya dibenarkan masuk. Ketika di Sudan saya dan rakan-rakan juga pernah ditahan oleh pihak keselamatan dan tak dibenarkan masuk ke kawasan operasi kerana orang kenamaan Sudan mahu membuat lawatan rasmi ke kawasan operasi loji tetapi selepas bertegas bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini, akhirnya mereka mengalah membenarkan kami masuk,” katanya yang turut mengakui Petronas bagaikan ‘nyawanya’ dan lambang kekuatan negara.

Selepas berjaya mengharungi cabaran di Sudan, beliau ditugaskan pula di Pakistan dan Indonesia, malah diberi pelbagai jawatan tinggi hinggalah yang terakhir perkhidmatannya di Petronas sebagai Pengurus Kanan (Field Reliability Maintenance) pada 2012.

Ruzlle berkata ketika mula-mula bertugas dahulu, beliau tidak dapat menggambarkan bagaimana Petronas akan berkembang. Malah tidak dapat dijangka permulaan mendapatkan minyak dari perairan negara namun atas semangat, kesungguhan dan jati diri yang tinggi, beliau dan rakan setugas lain menyumbang kepada pencapaian besar negara dalam sektor itu.

Sesuatu yang mungkin jarang berlaku kepada petugas lain, setiap misi yang diamanahkan kepadanya tidak pernah gagal meskipun sesetengah lokasi dan negara yang ditugaskan tidak mempunyai tenaga pakar apatah lagi peralatan berteknologi tinggi.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah mengalah dan rasa terbeban dengan tugas yang diarahkan, Ruzlle berkata: “Tidak pernah terdetik penyesalan walaupun sekali, semua yang dilakukan kerana minat, dan kesungguhan demi negara.”

Beliau sempat menitip nasihat kepada golongan muda supaya bersungguh-sungguh melakukan sesuatu dan sentiasa tepati masa supaya sumbangan generasi terdahulu akan terus kekal dan dinikmati bersama. 

“Saya pernah menjadikan semangat Malaysia sebagai pembakar semangat dalam melaksanakan sesuatu terutama ketika berada di luar negara. Saya pernah mendengar pujian rakyat di negara lain tentang negara kita. Sayangilah negara kita ini...hargainya, jangan hancurkan.

“Tidak ada negara lain seperti negara kita ini. Jangan mengharapkan orang lain mengubahnya kecuali kita sendiri,” katanya yang juga mengakui jiwanya sukar ‘lari’ daripada Petronas, malah sempat berseloroh yang jika diimbas warna darahnya mungkin ia berwarna hijau.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel